Pilih Bahasa

Jangan biarkan bahasa rojak kuasai pertuturan generasi muda

Oleh Chris Maskilone

TUARAN: Pihak sekolah harus elakkan penggunaan bahasa rojak kalangan murid-murid dalam pertuturan atau semasa pembelajaran di bilik darjah.

Ketua Wanita PKR Tuaran Chrisnadia Sinam berkata penggunaan bahasa rojak yang kian menguasai generasi muda sekarang dan sekiranya dibiarkan mampu merosakkan bahasa kebangsaan dimasa hadapan.

Chrisnadia bersama Guru Besar SK Tamparuli Jasnie Omar (kiri) menerima skrol Tahun Baharu Cina sempena majlis Pesta Angpow di sekolah tersebut baru-baru ini. Gambar SNT/Ihsan SK Tamparuli

Berucap merasmikan Majlis Pesta Angpow dan Tahun Baharu Cina Sekolah Kebangsaan Tamparuli baru-baru ini, Chrisnadia yang juga Ahli Majlis Daerah Tuaran turut berharap sistem pendidikan di negeri ini akan terus bergerak seiring dengan era Revolusi Industri Ke-empat (IR 4.0).

Ini akan membolehkan pelajar dilengkapi dengan dengan ilmu yang lebih memenuhi pasaran pekerjaan, ujarnya.

“Kita telah mengalami penghijrahan beramai-ramai anak muda Sabah mencari pekerjaan ke semenanjung terutama di Johor dan Singapura bermula dari 1990 hingga 2010.

“Walaupun bekerja di seberang lautan namun kebanyakan mereka ini hanya beroleh pekerjaan berpendapatan rendah.

Chrisnadia (baris hadapan lima dari kiri) bersama Jasnie (baris hadapan lima dari kanan) dan guru-guru SK Tamparuli. Gambar SNT/Ihsan SK Tamparuli

“Ini disebabkan mereka tidak dilengkapi dengan ilmu yang cukup seiring dengan keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Chrisnadia nemohon agar pihak Jabatan Kerja Raya mengkaji cadangan membina jejantas untuk keperluan murid-murid sekolah tersebut bagi mengelakkan kemalangan jalanraya.

Sekolah Kebangsaan Tamparuli yang terletak berhampiran dengan jalan utama Tamparuli-Ranau ini mempunyai 800 orang murid.-SabahNewsToday