Pilih Bahasa

Jangan putarbelit isu IMM13 hanya untuk raih sokongan – Joniston kepada Jo-Anna

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas cuba memutarbelitkan pendekatan baharu cadangan penyelesaian isu pemegang dokumen IMM13 dan PTI di Sabah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk meraih sokongan.

Dalam kenyataan balas selepas dicabar oleh Jo-Anna untuk menyatakan pendirian mengenai isu IMM13, Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata:

“Jo-Anna tidak perlu membuang masa mempersoalkan pendiriannya semata-mata untuk meraih sokongan.”

Datuk Joniston Bangkuai. Gambar Fail SNT

“Saya akui saya lantang menyuarakan bantahan terhadap pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) oleh kerajaan pintu belakang Warisan-PH-Upko.

“Dan saya akan terus berpegang kepada pendirian yang sama jika usaha menyelesaikan isu PTI tidak memihak kepada kepentingan negeri dan rakyat tulen Sabah,” katanya hari ini.

“Begitupun, saya mengucapkan terima kasih kepada Jo-Anna kerana mengetengahkan semula kenyataan saya pada Oktober 2018 berhubung isu pemberian IMM13.

“Untuk memperingatkan Jo-Anna, saya mengeluarkan kenyataan itu apabila tular gambar dan laporan ribuan PTI menyerbu pejabat Imigresen di Wisma Dang Bandang untuk mendaftar mendapatkan dokumen IMM13 kerana saya mengesyaki mungkin pendaftaran itu atas permintaan kerajaan negeri pimpinan parti Warisan.

“Dalam kenyataan saya itu, saya meminta penjelasan siapa yang memberi arahan (menekan butang) menghidupkan semula pendaftaran pas IMM13 dan siapa dalangnya dan saya juga mengemukakan beberapa cadangan dan saya masih berpegang kepadanya,” katanya.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berpendapat kemungkinan Jo-Anna mengelabah kerana tidak dapat menerima hakikat penolakan rakyat Sabah terhadap pemberian PSS kepada PTI oleh Kerajaan Warisan-PH-Upko dan melihat pendekatan baharu kerajaan pusat sekarang lebih praktikal dan efektif.

Menurutnya, Jo-Anna sepatutnya membaca kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalannya Jonathan Yassin dengan teliti sebelum membuat tuduhan melulu kononnya pemegang dokumen IMM13 dibenarkan tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan tanpa memohon permit kerja.

“Amat jelas dalam kenyataan Datuk Seri Hamzah dan Jonathan bahawa pemegang dokumen IMM13 mesti mendapatkan dokumen pengenalan dan passport dari negara mereka sebelum dibenarkan berada di Sabah untuk berkerja.

“KDN juga tidak menyentuh pun berkenaan pemegang dokumen IMM13 diberi kebenaran hadir ke sekolah dan mendapat perkhidmatan kesihatan kerajaan.

“Mungkin Jo-Anna terlupa bahawa sebenarnya kerajaan parti Warisan-PH-Upko yang mesra PTI yang merancang membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan seperti yang diumumkan oleh mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 2018.

“Sudah terlupa kah Jo-Anna bahawa Kerajaan pintu belakang negeri Sabah ini juga dilihat begitu perihatin dalam memberi bantuan kepada mangsa kebakaran perkampungan-perkampungan setinggan yang nampak seolah-olah luar biasa jumlah kesnya semenjak PRU14,” katanya lagi.

Joniston berkata banyak persoalan timbul setiap kali kebakaran setinggan berlaku kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bergerak dilaporkan seolah-olah lebih cepat “turun membantu” daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain daripada itu, Kerajaan Warisan turut mengumumkan hasrat mewartakan kampung-kampung setinggan yang ketahui umum didiami majoriti PTI.

“Begitupun saya ingin berterima kasih kepada Jo-Anna kerana mengiktiraf perjuangan saya dan PBS berkaitan isu PTI yang sekian lama menjadi duri dalam daging di Sabah,” katanya.

Untuk makluman, Joniston menegaskan PBS tidak pernah lari daripada pendirian teguh berkenaan isu PTI ini yang memerlukan tindakan segera.

“Di bawah kerajaan PN yang baharu ini saya melihat komitmen sepenuhnya untuk menangani isu prioriti Sabah ni.

“Untuk makluman, PBS membuat keputusan menyokong pendekatan baharu menangani isu PTI di Sabah setelah mendapat penjelasan dan jaminan daripada Datuk Seri Hamzah bahawa beliau bertekad untuk menyelesai isu itu “once and for all”.

“Kita sudah melihat keseriusan KDN menangani dan menyelesai isu PTI di Semenanjung Malaysia yang melibatkan pelarian Rohingya dan warga negara asing yang lain dan kita yakin komitmen yang sama juga akan diberikan oleh KDN untuk mencari penyelesaian isu PTI di Sabah,” katanya.

Menurutnya, pendirian PBS adalah IMM13 merupakan dokumen pelarian perang yang mana perang di Selatan Filipina sudah tamat dan wajar mereka dihantar pulang.

Oleh itu katanya PBS berharap kerajaan pusat akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan kerajaan Filipina untuk memberi dokumen pengenalan dan passport sah Republik Filipina kepada semua pemegang IMM13.

“Harus ditegaskan juga bahawa Sijil Burung Burung dan Kad Banci bukannya dokumen sah dan pemegang kedua-dua jenis dokumen ini merupakan PTI dan harus diusir dari negeri Sabah.

“Saya melihat dibawah kerajaan PN, KDN serius menangani isu PTI di Sabah dan sehubungan itu PBS berkesempatan menyerahkan memorandum cadangan penyelesaian kepada Datuk Seri Hamzah sewaktu lawatan beliau ke Sabah baru-baru Ini,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan amat perlu untuk memerangi isu PTI di Sabah secara efektif.-SabahNewsToday