Pilih Bahasa

JANS potong 25 sambungan paip air haram

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sebanyak 25 sambungan paip air dikesan berlaku di Kampung Suang Parai, belakang sebuah kompleks beli-belah, di sini dalam operasi pemotongan bagi penyambungan haram hari ini.

Paip utama ditebu untuk sambung paip air bagi bekalan air di kawasan setinggan di Kampung Suang Parai, Manggatal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian mendapati semua paip air itu disambung dengan dua paip utama di kawasan kampung berkenaan.

Semua paip air ini dipercayai untuk bekalan air ke kawasan rumah setingggan di kampung itu dianggarkan lebih 1,000 buah rumah.

Susulan itu, penguat kuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bertindak memotong sambungan paip air berkenaan dan merampas beberapa batang paip air.

Penguat kuasa memotong dan merampas paip yang disambung secara haram dalam operasi pemotongan dan penyambungan haram di Kampung Suang Parai, Manggatal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Difahamkan, seminggu yang lalu penguat kuasa JANS sudah memotong sambungan paip air di kawasan itu namun pemeriksaan hari ini mendapati paip berkenaan disambung semula.

Wartawan SabahNewsToday yang mengikuti operasi itu mendapati paip air yang disambung di paip utama ditutup dengan kain bagi mengelak dikesan.

Ada juga paip air disembunyikan di dalam kawasan semak.

Paip air yang disambung secara haram di kawasan Kampung Suang Parai, Manggatal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tindakan pihak atau individu yang melakukan perkara itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan paip utama dan gangguan air di kawasan berkenaan malah kerugian besar kepada JANS.

Difahamkan, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Amarjit Singh akan mengadakan sidang media di pejabatnya hari ini mengenai operasi berkenaan. -SabahNewsToday