Pilih Bahasa

JaPen gerak pelbagai program semarak semangat patriotisme

KOTA KINABALU: Pada bulan Ogos setiap tahun, Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia pasti bersiap sedia untuk menganjurkan pelbagai program bagi membangkit dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan juga Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, JaPen Sabah telah pun mengatur dan menyusun pelbagai program yang mana objektif utamanya adalah untuk memasar dan meningkatkan pemahaman dasar kerajaan kepada rakyat.

Norzawiyah Bulka. Gambar SNT/Ihsan Japen

“Antara lain objektifnya lagi adalah untuk menyuburkan semangat patriotisme rakyat melalui semangat Kempen Kibar Jalur Gemilang, menggelorakan sambutan bulan kebangsaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur serta menggalakkan penglibatan secara aktif generasi muda.

“Oleh itu setiap tahun kita akan mengatur beberapa program dan pada tahun ini aktiviti utama yang akan JaPen laksanakan adalah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan dilancarkan pada 9 Ogos ini oleh Ketua Menteri di Padang Daerah Ranau.

“Konvoi ini akan mengelilingi negeri Sabah sejauh 3500 kilometer bermula dari daerah Tuaran pada 20 Ogos dan akan berakhir di Dataran Esplanade Pekan Sipitang pada 29 Ogos ini.

“Selain daripada itu konvoi KMJG ini turut menyertai acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu pada 31 Ogos nanti,” jelasnya.

Norzawiyah (duduk tengah) bersama-sama pengamal media menunjukkan tanda sokongan terhadap program Kempen Kibar Jalur Gemilang di Pusat Media Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JaPen

Beliau berkata demikian sejurus menghadiri Sidang Media Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Dewan Undangan Negeri, pada Rabu.

Tambahnya, selain konvoi KMJG, JaPen juga turut mengadakan pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan seperti Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pengisahan Kenegaraan, Signature @PMR UTC, Apa Kata Anak Malaysia dan yang paling mendapat sambutan ialah Program Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan.

“Kita menyeru kepada semua pihak terutama pemilik premis persendirian, kerajaan dan swasta untuk menyertai pertandingan ini yang akan dibuka penyertaannya pada 21 Ogos hingga 7 September nanti dan sebarang pertanyaan mengenai pertandingan ini bolehlah menghubungi Pejabat Penerangan Daerah yang berhampiran.

“JaPen Sabah juga turut mengadakan program Karnival Merdeka @Wisma Dang Bandang pada 7 September dengan pelbagai pengisian antaranya pertandingan Lukisan Mural Merdeka, Doodle Sayangi Malaysiaku, 5KM Fun Run Merdeka, Mewarna Kanak-Kanak, Bintang Patriotik Merdeka, Puisi Merdeka, dan Pameran Sayangi Malaysiaku bagi mengimarahkan lagi sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini.

“Turut diadakan juga Kembara Merdeka Jalur Gemilang Berkereta Api yang akan diadakan pada 8 September bermula dari Kota Kinabalu hingga ke Beaufort.

“Semua program ini diadakan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua masyarakat agar sama-sama mengibarkan jalur gemilang di semua premis perniagaan terutama di pejabat-pejabat kerajaan, swasta, sekolah, rumah persendirian dan kenderaan sebagai tanda kasih dan cintanya kita terhadap negara Malaysia.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) Dr Ismail S. Charles dan Pegawai Daerah Ranau Mohd Yassin -SabahNewsToday