Pilih Bahasa

JaPen Nabawan serah kelengkapan pengurusan jenazah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

NABAWAN: 11 masjid serta surau di daerah ini menerima barangan kelengkapan pengurusan jenazah sumbangan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Pegawai Penerangan daerah Nabawan, Asmidar Zainol berkata pemberian kelengkapan berkenaan adalah sempena Program Tazkirah dan Ramadan Lambuk On Wheels bagi membantu keluarga kurang berkemampuan di kawasan berkenaan yang sekiranya berlaku sebarang kematian.

Asmidar (dua dari kanan) menyampaikan set pengurusan jenazah kepada wakil salah satu masjid dan surau di Nabawan. -Gambar SNT/ Ihsan JaPen

“Kita sedia maklum sukar untuk penduduk beragama Islam di sini mendapatkan keperluan untuk menyempurnakan jenazah berikutan faktor kewangan serta jarak yang jauh.

“Oleh itu, JaPen mengambil inisiatif ini dengan  menyerahkan set kelengkapan pengurusan jenazah untuk setiap surau dan masjid di daerah ini melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu keluarga yang memerlukan dalam usaha memudahkan pengurusan jenazah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas di Pusat Kawalan Operasi (PKOB) Bencana Daerah Nabawan dan petugas barisan hadapan, baru-baru ini.

Asmidar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada kakitangan klinik kesihatan Sepulut. -Gambar SNT/ Ihsan JaPen

Turut diedarkan juadah berbuka puasa di 15 lokasi terpilih sekitar Nabawan.

Dalam pada itu, Asmidar berkata sumbangan sama juga disampaikan di setiap masjid dan surau untuk diedarkan kepada penduduk kampung, balai polis, klinik kesihatan, pejabat kesihatan dan petugas pusat kurantin.

Sementara itu, Asmidar menyatakan pihaknya turut berkerjasama dengan JHEAINS bagi menyiarkan rakaman takzirah ringkas sebelum azan Asar di semua masjid dan surau. -SabahNewsToday