Pilih Bahasa

Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi perincikan mekanisma pemberian PSS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan diperingkat negeri Sabah yang akan diketuai oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) bagi memperincikan mekanisma pemberian Pas Sementara Sabah (PSS).

Jawatankuasa Khas itu terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dan lain-lain agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran operasi proses pelaksaan PSS.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata PSS hanya akan dikeluarkan kepada pemegang dokumen sedia ada yang telah disahkan oleh agensi pengeluar berkaitan.

“Selain itu semakan silang data antara agensi juga dilaksanakan bagi memastikan pemegangnya adalah tulen sebelum PSS dikeluarkan.

“Pemegang PSS masih dikategorikan sebagai warga asing dan pemegang pas ini tidak layak dipertimbangkan pemberian taraf pemastautin tetap dan kewarganegaraan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata PSS akan terbatal jika pemegangnya disabitkan dengan kesalahan jenayah atau telah mendapat passport daripada negara asal.

Bagaimanapun katanya sebelum sebarang dokumen perjalanan daripada negara asal diperolehi warga asing ini perlu memegang PSS bagi tujuan rekod keberadaan dan pergerakan semasa berada di Sabah.

Berdasarkan rekod melalui proses banci dan semak silang yang diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah bersama JKM dan Imigresen mulai 26 November 2015 sehingga 15 Jun 2016, bilangan pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci berjumlah 136,055 orang.

“Jumlah ini akan berubah semasa proses mengemaskini data selanjutnya yang turut melibatkan pendaftaran tanggungan kepada pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci,” katanya.

Beliau menambah sejumlah 600,000 pendatang tanpa izin yang dilaporkan adalah merupakan anggaran termasuk tanggungan daripada dokumen sedia ada.

Bagaimanapun, bagi tujuan kemaskini data tersebut perkara ini akan dilaksanakan secara teliti dan berhati-hati melalui mekanisme yang akan diperincikan oleh Jawatankuasa Khas PSS. – SabahNewsToday