Pilih Bahasa

Jawatankuasa Khas ditubuhkan pantau isu gajah Pygmy Borneo di Sabah

Oleh Junaidi Ladjana

Omar (tengah) bersama warga PDRM melakukan senaman sempena Majlis Penutupan Bulan Sukan Negara PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memantau dan membanteras sebarang aktiviti jenayah berkaitan pemburuan dan pengambilan hasil khazanah negara secara haram di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, setiap Ketua Polis Daerah yang terbabit sudah diarahkan dan jawatankuasa ini akan membabitkan Tiger Platun, Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan serta jabatan kerajaan yang berkaitan.

“Jawatankuasa ini bukan saja untuk memantau hidupan liar tetapi juga menjaga tumbuh-tumbuhan dilindungi yang ada di negeri ini.

“Antara jabatan yang akan dimasukkan ke dalam jawatankuasa ini adalah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perikanan Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Bulan Sukan Negara PDRM peringkat Ibu Pejabat Kontijen Sabah, di sini hari ini.

Omar bergambar bersama pemenang sempena Majlis Penutupan Bulan Sukan Negara PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Omar berharap penubuhan jawatankuasa ini akan dapat membanteras perlakuan jenayah pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan hasil negara.

Tambah beliau lagi kes berhubung kematian gajah cukup mencurigakan kerana dalam tempoh yang pendek, empat gajah sudah dilaporkan mati dan ada antaranya akibat dibunuh.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, gajah yang ditemui mati disahkan akibat kesan tembakan.

“Oleh itu, kita akan bantu menjalankan siasatan dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Mengulas mengenai program Bulan Sukan Negara PDRM pula, Omar mahu supaya objektif yang disasarkan menerusi program Bulan Sukan Negara ini akan dapat dicapai.

Katanya selain membudayakan gaya hidup sihat program tersebut juga dapat meningkatkan semangat kerjasama yang lebih erat dalam kalangan pasukan PDRM Sabah. – SabahNewsToday