Pilih Bahasa

Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh bangunkan pelancongan luar bandar secara bersepadu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas kabinet bagi memantau dan melipatgandakan inisiatif pembangunan sektor pelancongan luar bandar Sabah secara bersepadu.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Datuk Christina Liew, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKASS) dibantu oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS).

Ewon sedang mempengerusikan mesyuarat itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Mesyuarat pertama jawatankuasa ini diadakan pada Selasa di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah yang dipengerusikan oleh Ewon.

“Pada mesyuarat pertama ini, kita telah bersetuju ke atas fokus jawatankuasa berkaitan pengujudan polisi  Kerajaan Negeri berkenaan perusahaan pelancongan luar bandar, isu aktiviti pelancongan luar bandar di kawasan perhutanan, pulau dan persisiran pantai serta keperluan menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan komuniti. Jawatankuasa juga bersetuju supaya program promosi, pemasaran dan pembangunan produk pelancongan luar bandar sedia ada perlu diperkasakan,” kata Ewon.

Beliau menambah, “Kerajaan Negeri perlu memperkenalkan polisi khusus bagi sektor pelancongan luar bandar yang mencakupi isu pengeluaran lesen, pematuhan aspek keselamatan, pelan pembangunan dan sebagainya. Polisi ini perlu disertai dengan proses yang bersifat memudahcarakan komuniti atau pengusaha dalam membangunkan potensi pelancongan di tempat mereka.”

Ewon turut menyatakan bahawa jawatankuasa tersebut akan mengemukakan input kepada penyediaan bajet tahunan Kerajaan, terutamanya Rancangan Malaysia Ke-12 berkaitan keperluan pembangunan infrastruktur asas iaitu menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan.

“Kita melihat secara spesifik keperluan menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat pelancongan ini sebagai pemangkin utama sektor ini. Justeru, kita mencadangkan supaya jalan-jalan ini dikategorikan sebagai Jalan Pelancongan Luar Bandar sama seperti kita mengkategorikan jalan pertanian supaya bajet khusus dapat disediakan untuk keperluan ini.

“Perkara ini juga telah saya bincangkan dengan Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan pada dua minggu lepas dan lawatan beliau ke Sabah pada bulan hadapan berfokus kepada syor pembangunan jalan-jalan pelancongan luar bandar bermula dengan kunjungan beliau ke kawasan DUN Kadamaian. Kita akan menyediakan data terperinci kategori jalan-jalan ini di seluruh Sabah untuk dibincangkan dengan lebih lanjut bersama KPLB Persekutuan semasa lawatan tersebut,” tambah beliau.

Dalam mesyuarat pertama tersebut, semua Pegawai Daerah turut dijemput hadir bagi taklimat khusus yang diberikan oleh KEPKASS.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat isu berkaitan pelancongan di perkampungan adat yang termasuk dalam kawasan perhutanan, di pulau dan persisiran pantai. Untuk ini, jawatankuasa akan melibatkan beberapa jabatan atau agensi Kerajaan yang terlibat agar dapat bersama-sama melihat aspek perundangan yang berkaitan bagi membolehkan aktiviti pelancongan dapat dibangunkan di perkampungan ini,” katanya.

Ewon menaruh harapan tinggi dengan penubuhan jawatankuasa khas kabinet ini dapat menyediakan usaha bersama yang bersepadu dan berfokus bagi membangunkan sektor pelancongan luar bandar.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah, Setiausaha Tetap KEPKASS William Baya dan Setiausaha Tetap KPLBS Fredian Gan.-SabahNewsToday