Pilih Bahasa

Jawatankuasa Khas Kabinet semak MA63 bermesyuarat pertama kali selepas Pindaan RUU Perkara 1 (2) gagal

Oleh Sabah News Today

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet bersidang di Putrajaya hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

PUTRAJAYA: Mesyuarat kali ketiga Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berlangsung di sini petang tadi.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ialah yang pertama selepas Pindaan Rang Undang-Undang Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan gagal diteruskan di Parlimen bulan lalu.

Mohd Shafie (tengah), Madius (kiri) dan Abang Johari (kanan) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet menyemak Perjanjian Malaysia 1963. Gambar SNT/Ihsan JKM

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj. Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Hj. Openg antara mereka yang hadir.

Rombongan Sabah termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Hashim Paijan serta Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan mantan Peguam Besar Sabah, Datuk Stephen Foo serta Penasihat MA63 Kepada Kerajaan Sabah, Zainnal Ajamain.

Mohd Shafie berbincang sesuatu dengan Lim Guan Eng sebelum mesyuarat bermula. Gambar SNT/Ihsan JKM

Manakala menteri kabinet persekutuan yang hadir ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerjaraya, Baru Bian, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong.-SabahNewsToday