Pilih Bahasa

JBPM Sabah siap sedia hadapi PRN

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersiap sedia dari aspek aset dan keanggotaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata persedian itu termasuk melaksanakan proses sanitasi awam di beberapa kawasan penting sepanjang PRN dijalankan.

Kamarulzaman (dua kiri) ketika menyampaikan Sijil Penghargaan kepada salah seorang pegawai bomba pada Majlis APC Zon Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Ihsan JPBM Sabah

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya dari bilik gerakan operasi negeri.

“Kita bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan bagi pelaksanaan sanitasi awam di tempat pembuangan undi, kita masih menunggu arahan selanjutnya dari bilik gerakan operasi negeri.

“Kita yakin sebelum pembuangan undi dilakukan pihak bomba akan melakukan pemeriksaan dan pembersihan awam di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada pegawai bomba Zon Kota Kinabalu di Dewan Ibu Pejabat, JBPM Sabah, di sini, Selasa.

Kamarulzaman berkata pihaknya juga sedang menunggu penetapan masa dan tarikh bagi membuat sanitasi awam termasuklah di kawasan penamaan calon.

Sementara itu, Kamarulzaman memberitahu JBPM Sabah berjaya melakukan sebanyak 1,037 Ops Sanitasi Awam bermula Mac lalu sehingga Ogos tahun ini.

Penerima sijil penghargaan merakamkan gambar kenangan. Gambar SNT/Ihsan JPBM Sabah

Katanya antara lokasi yang dijalankan adalah 316 kali di kawasan bandar serta pekan utama, 247 di pejabat kerajaan, 118 kali di pasar tani, 92 kali di kawasan bank.

“Selain itu, turut disanitasi adalah kawasan perumahan, taska, sekolah dan madrasah, kilang, pengangkutan awam, tempat ibadah serta tapak pembinaan. – SabahNewsToday