Pilih Bahasa

JELAJAH KKRBB KE KALIMANTAN BARAT BERJAYA

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kelab Kota Kinabalu Rider Big Bikers (KKRBB) berjaya dalam program siri jelajah ke Kalimantan Barat selama lima hari bermula 13 Febuari 2019 sebagai pengisian aktiviti  Program 2019 kelab tersebut.

Rombongan KKRBB yang diketuai  Timbalan Pengerusinya, Leslee Soujie selain Bendaharinya, Anita Malik, disertai oleh seramai 25 orang ahli yang telah mengharungi perjalanan darat sejauh 766 kilometer (km) untuk menjelajah secara konvoi, katanya.

Kelihatan Leslee dan Anita (KKRBB) menyampaikan cenderahati kepada Setyawan (tujuh kiri). Turut sama, ahli kelab kedua-dua negara. Gambar SNT/Ihsan KKRBB

Konvoi tersebut  bermula dari bandar Kuching dengan memasuki sempadan Tebedu Entikong ke Pontianak dan kemudian berpatah balik ke Kuching melalui Singkawang Sambas sebelum ke pusat pemeriksaan sempadan Aruk.

Semasa di Pontianak dalam perhentian pertama, KKRBB telah mengadakan perjumpaan dengan Kelab Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI) Pontianak (IMBI) dan bertukar tukar cenderamata.

Sebahagian ahli kelab KKRBB  yang menyertai jelajah ke Pontianak. Gambar SNT/Ihsan KKRBB

Menurut Leslee, Setyawan Lim yang mewakili IMBI tertarik untuk mengadakan kunjungan balas kerana menurutnya rata-rata penduduk Kalimantan Barat kurang mengenali Sabah.

Setyawan turut menghargai kunjungan KKRBB  demi mengeratkan silaturrahim antara rakan ‘Bikers’ di kedua-dua buah negara selain mewujudkan persefahaman dua hala dalam bidang aktiviti permotoran secara konvoi.

Sehubungan itu, Leslee dalam ucapan balasnya turut  menyatakan tujuan lawatan rombongan mereka itu adalah untuk mengeratkan persaudaraan atau dalam kalangan ‘Bikers’, selain mempromosikan aktiviti bermotosikal di Sabah.

Dalam lawatan ke Pontianak itu, para ahli kelab sempat berinteraksi dengan rakan-rakan ‘bikers’ dari Kuching yang diketuai oleh Melintan Ina yang sebelum ini telah memberikan kerjasama erat dalam memandu arah dan taklimat lojistik demi menjayakan acara lawatan tersebut.

Aktiviti tersebut merupakan satu-satunya aktiviti tahunan kelab itu bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina, yang mana para ahli kelab turut berkesempatan menyaksikan kemeriahan sambutan tersebut di Pontianak dan Singkawang.

Selain itu, KKRBB juga telah merancang pelbagai program, antaranya lawatan ke hospital Kanak-kanak di Likas sambil menyumbang derma dan keperluan peralatan dalam masa terdekat. -SabahNewsToday