Pilih Bahasa

Jelas rakyat mahu PSS dibatalkan – Najib

Oleh Chris Maskilone

BEAUFORT: Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis adalah kemenangan rakyat yang jelas mahukan Pas Sementara Sabah (PSS) dibatalkan.

“Mereka harus menghormati kemahuan rakyat dan umumkan pembatalan PSS,” kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib (kiri sekali) bersama para pemimpin Umno meraihkan kemenangan Datuk Mohamad Alamin (tengah). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ahli Parlimen Pekan tersebut berkata kejayaan BN di Kimanis turut memberi motivasi kepada Umno Sabah setelah menerima tamparan hebat apabila hampir kesemua wakil rakyatnya meninggalkan parti pada Disember 2018.

Beliau percaya ini adalah penyuntik semangat menandakan permulaan kebangkitan Umno dan BN di Sabah.

Sementara itu, Najib yang popular dikalangan penyokongnya dengan panggilan “Bossku” berpendapat PRK Parlimen Kimanis berbeza dengan PRK Parlimen Sandakan.

Dalam PRK Parlimen Sandakan, BN kecundang kepada Pakatan Harapan awal tahun lalu dan ramai berpendapat kehadiran ”Bossku” antara penyumbang kekalahannya, begitu juga kali ini.

Namun kedatangan beliau di Kimanis disambut baik oleh rakyat, katanya.

“Saya bukan nak memuji diri sendiri tetapi responnya positif di mana sahaja saya pergi (semasa kempen).

“Saya tak nak kata tapi biarlah orang lain menilai impak Bossku dalam pilihan raya ini,” katanya.-SabahNewsToday