Pilih Bahasa

JELIUS MAHU PEMAIN KEKAL RENTAK KEMENANGAN MENENTANG PDRM

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Gambar fail SNT

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating memuji persembahan anak buahnya apabila berjaya melakar kemenangan pertama pasukan itu di gelanggang lawan dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Negeri Kuching, semalam.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dicipta oleh skuad Tambadau selepas kejayaan sama diraih ketika menentang T-Team di Stadium Likas pada 16 Februari lalu.

Dua gol berharga Sabah dijaringkan Rodoljub Paunovi dan Sabri Sahar pada minit ke-36 dan 38 manakala Pedro Henrique menghadiahkan gol tunggal kepada Sarawak pada minit-minit akhir perlawanan.

Mengulas perlawanan itu, Jelius yakin kemenangan demi kemenangan yang diraih Sabah dalam perlawanan akan datang memberikan motivasi kepada pemain untuk terus menyinar pada Liga Malaysia musim ini.

“Kita sangat gembira dengan keputusan tiga mata yang kita bawa pulang dari Sarawak. Semalam merupakan kemenangan pertama di tempat lawan, namun saya harap ia tidak akan menjadi kemeNangan pertama dan terakhir pasukan.

“Kalau kita lihat perlawanan semalam, kita bermula dengan baik termasuk mencipta banyak peluang pada masa pertama tetapi ia juga bukan perlawanan yang mudah kerana kalau kita tengok pemain Sarawak mempamerkan aksi yang bagus,” katanya.

Menurut Jelius dalam perlawanan itu pemain tuan rumah tidak berputus asa apabila terus memberikan tekanan kepada Sabah meskipun ketinggalan dengan dua gol.

Buktinya, kata Jelius lagi Sarawak melakukan beberapa asakan ke kubu Sabah dan akhirnya berjaya menghasilkan satu gol tatkala pengadil permainan hanya menanti untuk meniupkan wisel penamat.

Tambahnya dari segi keseluruhan prestasi persembahan pemain agak memuaskan namun beberapa kelemahan masih perlu diperbaiki khususnya di bahagian tengah.

“Kalau kita lihat di bahagian tengah agak kurang (berkesan) terutama lorongan bola yang baik kepada penyerang. Ia itu penting agar pemain dapat melakukan gerakan menarik untuk membantu memantapkan jentera serangan.

“Begitu juga bahagian serangan, kita tengok banyak peluang yang kita cipta tapi hanya dua gol yang kita dapat jaringkan.

“Sekiranya kita mempunyai penyerang yang memiliki penyudah yang baik juga adalah satu kelebihan kerana ada kala bila kita dapat menggunakan peluang menjaring, kita punyai kelebihan ke atas lawan,” ujarnya.

Sabah kini menghuni tangga kedua Liga Perdana di belakang pendahulu iaitu PBMS dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Skuad Tambadau akan melayani kunjungan PDRM dalam perlawanan keempat mereka di Stadium Likas pada 2 Mac depan. – SabahNewsToday