Pilih Bahasa

JELIUS PUAS HATI SABAH CATAT KEPUTUSAN SERI DI KOTA BHARU

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jurulatih bola sepak Sabah, Jelius Ating. – Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

KOTA KINABALU: Walaupun hanya mampu meraih satu mata di Kelantan, Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating tetap berpuas hati dengan aksi pemainnya kerana berjaya mengelak kekalahan kedua pasukan itu dalam saingan Liga Perdana.

Jelius berkata dia juga gembira apabila para pemain mampu mengikat pasukan Kelantan dengan jaringan 3-3 di hadapan penyokong lawan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam, setelah ketinggalan sebanyak dua kali.

Namun katanya banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di barisan pertahanan selepas gawang mereka dibolosi lima gol dalam dua perlawanan setakat ini.

“Kami agak kurang bernasib baik apabila lawan membolosi gawang kita pada minit-mint akhir sedangkan kami sepatutnya boleh memenangi perlawanan itu.

“Pun begitu saya berpuas hati dengan persembahan pemain. Mereka bermain baik dan menguasai perlawanan terutama di separuh masa kedua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelius menambah walaupun berjaya menjaringkan tiga gol dalam perlawanan itu jentera serangan skuad Tambadau perlu diperkemaskan dan dimantapkan ekoran beberapa peluang menjaringkan gol gagal disempurnakan penyerangnya.

Katanya aksi pertama Luiz Carlos Caetano De Azevedo Junior banyak membantu pasukan itu manakala Luka Milunovic pula dilihat bertambah serasi dengan pasukan Sabah.

Dalam perlawanan semalam, Kelantan terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-6 menerusi jaringan penalti Mustafa Zazai namun Sabah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Kelantan sekali lagi mendahului dengan jaringan 2-1 hasil jaringan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-51 tetapi dua gol Maxsius pada minit ke-78 dan 86 menterbalikkan kedudukan untuk berpihak kepada Sabah 3-2.

Beraksi di gelanggang sendiri menjadikan Kelantan semakin bersemangat dan akhirnya The Red Warriors memperolehi gol penyamaan pada minit ke-88 menerusi Muhammad Danial Haqim Draman dan kedudukan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Setelah mengharungi dua perlawanan Sabah kini berada di kedudukan kelapan dengan satu mata daripada dua perlawanan. – SabahNewsToday