Pilih Bahasa

Jemputan untuk TYT sebagai tetamu khas Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah pada 22 Okt

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah menerima kunjungan hormat Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) di Istana Negeri, Kota Kinabalu pada Isnin.

Rombongan KBSS diketuai oleh Menteri Phoong Jin Zhe bersama Pembantu Menteri Arunarnsin Taib dan Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) Dr. K.H. Tan.

Tun Juhar (depan tengah) bersama Phoong (depan kiri), Arunarnsin (depan kanan) serta rombongan KBSS dan AJK Anugerah Sukan Negeri Sabah 2017-2018 semasa Kunjungan Hormat di Istana Negeri, Kota Kinabalu pada Isnin. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap KBSS Yusrie Abdullah, Pengurus Besar LSNS Terrance Edward Pudin, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) Mohd Asneh Mohd Noor, Penolong Pengarah (Pembangunan Sukan) Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah (JBSS) Noorman Ramlan dan Penolong Pengarah (Pengurusan dan Pentadbiran) MSN Sabah Fatiha Ibrahim.

Semasa pertemuan tersebut, Phoong memaklumkan kepada Tun Juhar berkenaan penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah (ASNS) 2017-2018 yang akan berlangsung di Grand Ballroom, Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada 22 Oktober ini.

Phoong kemudiaanya menjemput Tun Juhar untuk hadir menyerikan lagi majlis berprestij itu yang bakal menyaksikan 14 anugerah akan disampaikan kepada para penerima, di mana Tun Juhar dijangka akan menyempurnakan penyampaian tiga anugerah iaitu Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Olahragawati Terbaik dan Anugerah Olahragawan Terbaik.

Sebelas anugerah-anugerah lain terdiri dari Anugerah Olahrawan Harapan, Anugerah Olahragawati Harapan, Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik, Anugerah Pasukan Wanita Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik, Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Khas, Anugerah Wartawan Terbaik, Anugerah Olahragawan PARA Negeri Sabah dan Anugerah Olahragawati PARA Negeri Sabah.