Pilih Bahasa

JENAMA POLO RALPH LAUREN “FUFU” DIRAMPAS

Oleh Mohd Adam Arinin

Antara barangan jenama POLO tiruan atau ‘fufu’ dirampas oleh KDNHEP Sabah pada sidang media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita barangan tiruan atau ‘fufu’ dari jenama terkemuka, Polo keluaran Ralph-Lauren bernilai RM196,400, pagi Rabu.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata pihaknya menerima aduan daripada pengeluar jenama terkemuka itu melalui wakil sah jenama berusia 51 tahun itu sendiri.

“Hasil daripada perbincangan dan risikan yang dijalankan sendiri oleh pengadu, sepasukan pegawai penguatkuasaan KPDNHEP bersama pengadu telah menyerbu premis yang beroperasi didalam pusat membeli-belah terkemuka di sini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas (kanan) bersama Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah Ravichandran A/L Vadivellu meneliti pakaian jenama POLO tiruan atau ‘fufu’ yang dirampas pada sidang media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Serbuan mendapati terdapat sejumlah besar pakaian lelaki dan wanita “fufu” berjenama POLO didalam premis berkenaan dan kita menyita kesemuanya termasuk topi dan tali pinggang jenama sama untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Sabah di sini.

Menurut Georgie, jumlah rampasan terbanyak adalah melibatkan baju lelaki jenama POLO pelbagai jenis sebanyak 1,117 helai.

“Pihak KPDNHEP turut menyita sijil pemilikan jenama POLO di bawah sebuah syarikat perlesenan dari Indonesia dan salinan lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Georgie, sekiranya didapati bersalah pihak syarikat yang menjalankan penjualan barangan tiruan ini akan dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan kedua manakala kesalahan seterusnya akan dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan.

Dalam pada itu, pihak KPDNHEP negeri ini juga telah menjalankan sebanyak 47,065 pemeriksaan di seluruh Sabah bermula Januari sehingga November 2018.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1081 kes telah disiasat dengan nilai rampasan sebanyak RM 7,296,507.66.

“Manakala denda yang kita telah keluarkan sebanyak RM 134,300.00 dan sebanyak 819 kes telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun bernilai RM 410,863.00,” katanya. -SabahNewsToday