Pilih Bahasa

Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir akan dikebumikan di Perak

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham, Mejar Mohd Zahir Armaya dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) kira-kira jam 5.30 petang tadi untuk disembahyangkan di Masjid As-Salam di Kem Lok Kawi, Putatan.

Ibu Allahyarham Rusunjan Mohd bersama dengan bapa saudaranya Mirdat Mohd turut berada dalam kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham.

Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir diangkat pasukan Tentera Darat Malaysia untuk dibawa ke Masjid As-Salam di Lok Kawi. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Turut mengiringi kenderaan yang membawa Pegawai Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas itu adalah beberapa ahli keluarga terdekat serta pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).

Jenazah Mohd Zahir akan diterbangkan ke Semenanjung dan seterusnya dibawa ke kediaman isterinya di Perak untuk dikebumikan di situ.

Sementara itu, suasana di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HQE I hiba selepas jenazah Allahyarham di bawa keluar dan dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah.

Terdahulu, Mejar Zahir maut selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi Pelancaran Divisyen Ke-5 dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Kenderaan jenazah bergerak dan diiring ke Masjid As-Salam di Lok Kawi. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila Allahyarham berlakon sebagai pengganas dengan lengkap memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Tembakan itu menyebabkan Mohd Zahir rebah sebelum dua anggota tentera membawanya ke tepi padang kawad dan kelihatan menahan kesakitan sambil darah keluar daripada mulut dan hidung.

Mejar Zahir kemudian diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera sebelum dikejarkan ke HQE I menggunakan ambulans.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya. Gambar Fail SNT

Bagaimanapun Mohd Zahir disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Jabatan Forensik HQE I.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia lima bulan hingga sembilan tahun.-SabahNewsToday