Pilih Bahasa

Jenazah Toh Puan Dayang Masuyah selamat dikebumikan

KOTA KINABALU: Jenazah isteri Yang Di Pertua Negeri Sabah Ke-Sembilan, Tun Ahmadshah Abdullah iaitu Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang -Orang Bajau Kampung Inanam Laut dekat sini, pada jam 11.45 pagi tadi.

Tun Ahmadshah (tengah) menyiram air ke pusara isteri tercinta. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Allahyarhamah Dayang Masuyah yang koma selama tujuh bulan akibat serangan angin ahmar, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tun Ahmadshah yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengiringi jenazah isterinya menerusi pesawat MAS (MH 2638), tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 8.50 malam tadi, sebelum dibawa balik ke kediamannya di Likas.

Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan solat jenazah dipimpin oleh Imam Masjid Tun Ahmadshah, Zakaria Muid.

Selain suami, Allahyarhamah Dayang Masuyah meninggalkan tiga anak lelaki dan seorang perempuan serta sembilan cucu.-SabahNewsToday

Hanya keluarga terdekat yang menghadiri majlis pengebumian Allahyarhamah Toh Puan Dayang Masuyah. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Tun Ahmadshah menyentuh batu nisan allahyarhamah isterinya sebelum beredar. Gambar SNT/Ihsan Penerangan