Pilih Bahasa

Jentera Bersatu digesa turun padang beri penerangan

Faisyal (kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Masidi (tengah). – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Seluruh jentera parti Bersatu Sabah digesa terus giat memberi penerangan dan penjelasan mengenai matlamat dan perjuangan parti bagi menarik lebih banyak sokongan daripada rakyat khususnya di peringkat akar umbi.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusuf Hamdian Deigo berkata oleh kerana parti Bersatu masih baharu di Sabah selepas secara rasmi dibawa masuk pada 6 April lalu, sudah pasti ramai yang belum memahami perjuangan parti tersebut.

“Keputusan pimpinan tinggi Bersatu untuk membawa masuk parti ke Sabah adalah satu keputusan yang amat tepat dan kita menerima parti ini kerana kita perlu terus berjuang untuk mengekalkan hak pribumi.

“Bersatu pula adalah sebuah parti yang menghimpunkan masyarakat pribumi untuk bersatu dan berjuang demi masa depan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia Baharu yang tidak mengetepikan masyarakat pribumi,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Pimpinan Bersatu Negeri Sabah peringkat Bahagian Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun; Ketua Armada, Mohd Isquzawan Arsit dan ketua-ketua bahagian Bersatu, Srikandi dan Armada Bersatu bahagian.

Program Jelajah Pimpinan Bersatu negeri Sabah itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Masidi Manjun.

Faisyal berkata masyarakat perlu lebih didedahkan dengan matlumat sebenar parti agar mereka dapat menjayakan pelbagai agenda parti demi kesejahteraan dan kebaikan bersama.

“Kita menggalakkan lebih ramai warga Sabah khasnya generasi baharu untuk menyertai Bersatu sebagai wadah dalam perjuangan politik. Kita sedia maklum di Bahagian Kota Kinabalu adalah di pihak kerajaan, namun dengan adanya Bersatu sebagai sebuah parti yang mengutamakan masyarakat pribumi, ia boleh diumpamakan seperti aur dengan tebing, saling membantu antara satu sama lain.

“Saling berkhidmat untuk kepentingan rakyat kita khasnya masyarakat pribumi kita di sini. Kita di dalam komponen kerajaan hari ini, melihat adalah wajar untuk perjuangan politik bersama ini disempurnakan dengan elemen positif iaitu pemahaman asas terhadap perjuangan parti yang betul dan landasan perjuangan juga berteraskan kepada asas yang utuh iaitu tunggak pimpinan Tun Dr. Mahathir yang kita hormati,” ujar beliau.

Beliau berkata sebagai sebuah parti baharu sudah pasti banyak timbul kelemahan dalam sama ada daripada segi pengurusan dan operasi parti.

Namun katanya semua itu akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa selain memerlukan sokongan daripada semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa, agama dan usia.

“Semoga dengan komitmen daripada setiap seorang daripada kita, Bersatu akan terus berdaya saing khususnya dalam menarik lebih ramai sokongan selain mendepani pelbagai isu-isu semasa baik isu masalah rakyat dan isu-isu semasa.

“Harus diingat, kita akan menjadi lemah jika gagal memahami matlamat dan perjuangan parti, begitu juga kita akan menjadi lemah jika gagal memberi sokongan padu kepada organisasi di mana kita bernaung sekarang ini,” tambah beliau.

Beliau berkata sebagai sebuah parti yang memegang kerajaan hari ini, Bersatu memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan sewajarnya ahli parti perlu sentiasa berusaha mendekati rakyat melalui pelbagai platform bagi di media sosial atau secara bersemuka. 

“Adalah penting bagi kita di dalam Bersatu untuk bekerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi membolehkan setiap agenda dan program yang dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.

“Semoga dengan komitmen dan sokongan padu daripada kita semua, kerajaan Pakatan Harapan dan parti Bersatu akan terus kukuh dan mendapat mandat daripada rakyat demi kesejahteraan dan kemajuan bagi negeri Sabah dan negara Malaysia,” katanya lagi. – SabahNewsToday