Pilih Bahasa

JERSI PUTIH, TAMBADAU BERI NAFAS BAHARU BUAT SABAH: PETER ANTHONY

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mempertahankan keputusan yang dicapai oleh pengurusan persatuan itu berhubung pemilihan jersi putih dan maskot Tambadau untuk pasukan Sabah musim ini.

Langkah yang diambil oleh pengurusan baharu SAFA itu telah menimbulkan pelbagai reaksi terutama peminat bola sepak di negeri ini yang rata-rata ingin mengetahui alasan disebalik keputusan yang agak mengejutkan mereka.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Menurut Peter ia merupakan pembaharuan yang dibawa oleh SAFA bertujuan memberikan nafas baru buat skuad Sabah selain mahu pemain tampak lebih segar dengan penampilan jersi putih bagi perlawanan di tempat sendiri.

“Jersi kita ubah sedikit, kebiasaannya jersi utama kita dahulu kita gunakan merah, jadi kali ini kita ubah kepada putih. Perkara ini telah diputuskan diperingkat pengurusan supaya kita gunakan jersi putih untuk perlawanan di tempat sendiri.

“Penggunaan jersi ini kita boleh mohon kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya kita tidak bersetuju dengan jersi itu, sama ada kita mahu mengekalkan atau tidak, ia tidak mendatangkan masalah kepada pasukan.

“Yang penting pasukan sudah bersedia dan apa yang kita mahukan pada Sabtu ini adalah kemenangan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu jersi dan maskot Sabah baharu bagi Liga Malaysia musim ini.

Terdahulu beliau mengumumkan secara rasmi dua pemain import baharu skuad Sabah iaitu Park Taesu dan Luka Milunovic di Stadium Likas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Peter berkata adalah menjadi kebiasaan bagi sebuah pasukan itu untuk melakukan perubahan atau penjenamaan semula.

“Kita dapati di Negeri Sembilan pada awalnya mereka mahu menggunakan rusa sebagai maskot tetapi telah menukar kepada badak.

“Bagi kita apa pun kita boleh guna, tidak mendatangkan apa-apa pun cuma semangat yang kita mahu. Mungkin juga Tambadau yang begitu terkenal di Sabah ini boleh membawa tuah kepada kita, tapi dari segi lain tidak ada melambangkan atau bermaksud apa-apa,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu mengambil perhatian dengan perkara itu kerana fokus utama SAFA adalah untuk menggembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri itu. – SabahNewsToday