Pilih Bahasa

JHEAINS pantau kaki ponteng puasa sepanjang Ramadan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) tetap melaksanakan pemantauan ke atas umat Islam yang tidak berpuasa sepanjang Ramadan ini walaupun berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Pengarahnya JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul berkata pemantauan ini lebih tertumpu di peringkat daerah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul pada sidang media hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun sejak Ramadan hingga hari ini, belum ada tangkapan membabitkan individu yang tidak puasa di Sabah.

“Tangkapan membabitkan kes khalwat juga tiada rekod. Mungkin ini antara hikmah daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui media di pejabatnya, hari ini.

Sebagai rekod, JHEAINS mencatatkan sebanyak 33 kes tidak berpuasa pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Saifulzaman berkata  sebanyak 31 pejabat JHEAINS di Sabah yang akan menjalankan pemantauan sepanjang Ramadan ini.

Katanya, pegawai tadbir agama selaku ketua bersama kakitangan JHEAINS dan Imam menjalankan pemantauan bagi memastikan umat Islam menghormati bulan Ramadan.

“Polis dan APM turut membantu bersama-sama memantau individu yang tidak puasa sepanjang Ramadan.

“Restoran-restoran pun hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja sejak PKP dilaksanakan.

“Saya ucapkan terima kasih semua pihak bagi memastikan umat Islam menghormati bulan Ramadan,” katanya. -SabahNewsToday