Pilih Bahasa

JHEWA anjur program kesedaran isu perkahwinan kanak-kanak

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU:  Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah  (JHEWA)  akan menganjurkan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak pada 9 Julai di Ulu Sugut, Ranau.

Pengarahnya, Puan Masturah Haji Jamrah berkata program sehari itu akan berlangsung di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Masturah Haji Jamrah. Gambar Fail SNT

Katanya Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif dijangka akan merasmikan program itu.

Beliau berkata program itu diadakan di kawasan luar bandar yang terpencil memandangkan masalah dan isu perkahwinan dikalangan kanak-kanak banyak berlaku di kawasan pedalaman negeri ini.

“Terdapat sesetengah masyarakat menjalankan perkahwinan tanpa melihat kepada batasan had umur seseorang gadis terutamanya yang berumur dibawah 18 tahun. Hal ini menyebabkan perkahwinan tanpa melihat kepada fisiologi dan psikologi seseorang gadis tersebut.

“Dengan adanya program ini JHEWA berharap dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, keluarga dan masyarakat mengenai isu perkahwinan kanak-kanak khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, menerusi program itu juga akan memberikan panduan dan kemahiran kepada kumpulan sasar dalam memahami psikologi, personaliti, perkahwinan, undang-undang, kehidupan berkeluarga, kesihatan reproduktif, bimbingan dan kaunseling.

Masturah berkata antara kumpulan sasar program itu ialah kanak-kanak berumur antara 13 hingga 17 tahun, ibu bapa, kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling sekolah serta pihak berkepentingan yang berperanan sebagai fasilitator serta pemimpin masyarakat.

“Kami jangkakan seramai 500 orang peserta akan menyertai program itu dengan lima sesi ceramah dan pembentangan akan diadakan,” tambahnya.

Menurutnya, ceramah dan pembentangan akan diadakan, masing-masing bertajuk;

“Pengenalan Kepada Pelaksanaan Modul” oleh Dr Muhammad Idris Bin Bullare @ Bahari dan Dayang Siti Rohani Sedan.

“Memahami Psikologi, Personaliti & Perkahwinan” oleh Dr Muhammad Idris Bin Bullare @ Bahari dan Dayang Siti Rohani Sedan.

“Perspektif Undang-Undang Terhadap Perkahwinan Kanak-Kanak” oleh Noor Azah Abdul Rahman.

“Pendidikan Kehidupan Berkeluarga & Kesihatan Reproduktif” oleh Suzanna Piny.

“Program Bimbingan & Kaunseling” oleh Dr Hajah Ananglangka Mad Kassim dan Ednan Muyong.

Katanya Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) juga telah telah mengambil inisiatif dan usaha secara proaktif dalam membentuk Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK): Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak, sebagai salah satu usaha dan cara menangani isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak.-SabahNewsToday