Pilih Bahasa

JIM Sabah gempur rumah kongsi di Keningau, 114 PTI ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

Pegawai JIM Sabah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah kongsi sekitar Keningau dalam Operasi Bersepadu. – Gambar SNT/Ihsan JIM

KENINGAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PTI) dalam operasi bersepadu di beberapa rumah kongsi di kawasan perindustrian di daerah ini.

Operasi bersepadu yang bermula dari pukul 3.30 pagi hingga 6 petang tadi itu turut memberi tumpuan di kawasan pekan daerah ini, Sook dan Nabawan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata operasi bersepadu ini dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sabah.

Antara individu yang ditahan dalam Operasi Bersepadu di Keningau. 3. Pegawai JIM Sabah menjalankan pemeriksaan ke atas rumah kongsi di kawasan Keningau. – Gambar SNT/Ihsan JIM

“Operasi membabitkan seramai 64 pegawai Jabatan Imigresen menumpukan rumah-rumah kongsi pekerja syarikat di kawasan perindustrian di daerah ini.

“Ini termasuk kilang-kilang dan pekan Keningau, Sook serta Nabawan. Hasilnya memeriksa seramai 371 individu dan hasil dokumentasi menahan seramai 114 individu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Sade berkata pecahan daripada jumlah tangkapan iaitu 55 lelaki dewasa, 15 kanak-kanak lelaki manakala 34 adalah wanita dewasa dan 10 kanak-kanak perempuan.

Pegawai Imigresen memeriksa dokumen beberapa individu yang ditahan dalam Operasi Bersepadu di Keningau. – Gambar SNT/Ihsan JIM

Beliau menambah, semua yang ditahan melakukan kesalahan iaitu Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa pasport atau pas yang sah.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dan Peraturan 38(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.

“Selain itu sebanyai 14 keping borang 29 dikeluarkan kepada wakil majikan. Sepanjang operasi itu tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Lori JIM Sabah membawa PATI yang ditahan dalam Operasi Bersepadu di Keningau. – Gambar SNT/Ihsan JIM

Operasi bersepadu ini turut dibantu pelbagai agensi keselamatan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sementara itu, beliau berkata matlamat utama operasi bersepadu ini dilaksanakan di seluruh Sabah adalah untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PTI) dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigersen.

“Operasi ini juga turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PTI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PTI ke negara ini,” katanya.

Jelas beliau tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi. – SabahNewsToday