Pilih Bahasa

JIM Sabah serbu ‘markas’ operasi sindiket penipuan dalam talian

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Kegiatan sindikat penipuan dalam talian (online Scam) yang menjadi premis dan kondominium di One Borneo, di sini sebagai ‘markas’ mereka terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Sabah (JIM), Selasa lalu.

Serbuan kira-kira jam 4 petang dilakukan sepasukan pegawai JIM dengan kekuatan seramai 41 orang ditiga lokasi iaitu premis tingkat dua dan tujuh unit kondominium di bangunan berkenaan.

Dokumen warga China terbabit sindiket penipuan dalam talian dirampas JIM Sabah untuk siasatan lanjut. Gambar SNT /Junaidi Ladjana

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata dalam operasi itu seramai 104 warga China terdiri daripada 94 lelaki dan 10 wanita ditahan di tiga lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan itu juga, turut dirampas 916 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 348 keping sim kad, 64 unit komputer riba, dan 28 unit komputer peribadi.

Muhamad Sade menunjukkan barang yang dirampas susulan kejayaan menumpaskan sindiket penipuan dalam talian di Sabah. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Ketika serbuan itu, semua suspek dipercayai sedang menjalankan aktiviti online scam yang berpusat di China.

“Tiada suspek dapat melarikan diri ketika operasi kerana semua pintu premis berkenaan dikawal dan dikepung oleh pegawai dan tiada apa-apa kejadian tidak diingin berlaku sepanjang operasi itu dijalanlan” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JIM Sabah, hari ini.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 68 suspek tidak dapat mengemukakan pasport dan sehingga kini tiada wakil atau individu yang hadir bagi mengemukakan pasport antarabangsa China milik mereka.

Antara barangan yang dirampas oleh JIM Sabah selepas menahan 104 warga China terbabit kes penipuan dalam talian. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Siasatan awal mendapati semua mereka tinggal di negara ini dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Pihak kedutaan China di Malaysia juga akan dimaklumkan berhubung perkara ini,” katanya.

Muhamad Sade berkata siasatan mendapati kegiatan ini disyaki beroperasi hampir dua bulan dengan menggunakan premis dan kondominium yang disewa oleh sindiket berkenaan.

“Modus operandi (MO) sindiket ini mensasarkan mangsa di China. Mereka ditawarkan keuntungan yang tinggi dan pantas. Melihat kepada MO ini hampir sama dengan kes tangkapan 680 warga China yang berjaya dilaksanakan di Cyberjaya pada 20 November lalu.

“JIM yang menjalankan risikan sejak seminggu sebelum serbuan juga mendapati premis itu dipercayai sebagai pusat panggilan dan kawasan premis dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang ketat dengan hanya mereka yang mempunyai kad akses sahaja boleh memasuki premis itu.

“Selain itu premis berkenaan juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan keluar dan masuk,” katanya.

Semua tangkapan berusia 18 hingga 39 tahun bersama barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat JIM Sabah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tindakan penyitaan dibawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) terhadap rampasan barang kes itu juga akan dijalankan bagi tujuan siasatan.

“JIM Sabah akan terus mengesan saki baki sindiket berkenaan dengan meneruskan pemantauan dan risikan,” katanya. -SabahNewsToday