Pilih Bahasa

Jin Zhe komited bantu belia, tingkat mertabat sukan Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berazam untuk membawa agenda pembangunan belia khususnya di Sabah ke tahap lebih cemerlang.

Selaku menteri baharu beliau menjelaskan sekarang adalah masa untuk bekerja dan menjayakan program pembangunan buat golongan belia yang memiliki pelbagai idea serta cadangan penambahbaikan.

Phoong Jin Zhe. Gambar Fail SNT

Menganggap pelantikannya itu sebagai kepercayaan kepimpinan DAP Pusat dan negeri terhadap kebolehannya menerajui kementerian belia, Jin Zhe berkata beliau mempunyai empat tahun untuk membawa perubahan yang diinginkan rakyat negeri itu.

“Banyak tugas yang perlu saya lakukan dalam masa empat tahun ini namun saya akan berusaha dan berjanji untuk komited mengangkat suara anak-anak muda dalam Kabinet.

“Walaupun belum mengangkat sumpah (jawatan) saya tidak ingin melengahkan masa dengan sebarang majlis keraian, malah hari ini saya akan bertemu beberapa pertubuhan belia dan warga kementerian,” kata Ahli Dewan Undangan Luyang itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah baharu menggantikan Datuk Frankie Poon yang berpindah portfolio ke Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraaan Rakyat.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan di Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini hari ini.

Pelantikan Jin Zhe diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu sidang media di Sabah Air Aviation, Tanjug Aru.

Jin Zhe merupakan lulusan Ijazah Bersekutu Kewartawanan dan Perhubungan Awam Kolej Universiti New Era dan sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada mendiang Datuk Stephen Wong.

Dalam pada itu Jin Zhe berkata selain agenda menjadikan sukan aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, beliau juga berhasrat meningkatkan kemudahan sukan di taman perumahan bagi kegunaan penduduk di kawasan itu.

Katanya pembinaan kemudahan gimnasium berdekatan kawasan perumahan akan memudahan penduduk menjalani aktiviti sukan selain menjimatkan masa mereka. – SabahNewsToday