Pilih Bahasa

JKMM agih 1,000 bakul makanan di Parlimen Kimanis

Oleh Sabah News Today

MEMBAKUT: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) menyumbangkan sebanyak 1,000 bungkusan makanan untuk diagih-agihkan kepada golongan yang berpendapatan rendah di kawasan Parlimen Kimanis .

Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin berkata dari jumlah tersebut kawasan Dewan Undangan Negeri Membakut dan Bongawan masing masing akan menerima sebanyak 500 bungkusan untuk diagihkan kepada penerima.

Mohamad (kanan) bersama kakaitangan pejabat kebajikan dan pejabat daerah ketika meneliti barang barang keperluan makanan yang bakal diagihkan kepada penduduk yang layak menerima bantuan JKMM. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kimanis

“Dari segi agihan ia akan dikendalikan oleh JKMM dan Pejabat Daerah Papar dan Pejabat Daerah Kecil Membakut  yang akan mengenal pasti penerima yang benar-benar layak menerima bantuan ini” katanya ketika ditemui selepas meninjau keperluan yang bakal diagih kepada penerima di pejabat daerah kecil Membakut di sini, semalam.

Menurut Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis, JKMM  dan Pejabat Daerah mempunyai mekanisme mereka sendiri dalam proses pengagihan, antaranya penerima perlu berdaftar dengan e-Kasih.

Katanya oleh kerana bantuan berkenaan amat terhad, maka hanya mereka yang layak sahaja yang akan menerimanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sebelum ini pejabat Perhubungan Parlimen dan Umno Bahagian Kimanis telah menyerahkan bantuan keperluan makanan bagi penduduk di kawasan Parlimen Kimanis yang terjejas dengan Virus Covid-19 .

Dalam pada itu Mohamad turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada JKMM pusat yang menyediakan peruntukan tersebut bagi meringankan beban penduduk terutamanya golongan kurang upaya yang terkesan dengan virus Covid-19. – SabahNewsToday