Pilih Bahasa

JKR Pusat pantau projek Lebuh Raya Pan Borneo

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyerahkan bantuan kepada 20 warga emas selepas menunaikan solat Maghrib yang turut disertai Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Majlis Iftar Bersama Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat untuk memantau pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Beliau menambah terpulang kepada JKR sama ada mahu melantik syarikat luar untuk melaksanakan kerja pemantauan ke atas projek berkenaan atau menyerahkan kepada JKR negeri.

“Sebelum projek itu dimulakan, kerajaan (terdahulu) telah lantik sebuah syarikat (di Sabah) untuk memantau pelaksanaan Pan Borneo.

Dr Mahathir (tiga dari kiri) bersama Mohd Shafie (dua dari kiri) dan jemaah menteri kerajaan negeri pada Majlis Iftar Bersama Ketua Menteri, Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini adalah tugas JKR dan kerajaan telah mengeluarkan kos yang banyak dengan mengambil pihak luar melaksanakan tugas memantau projek itu.

“Sekarang ini tugas itu telah diambil alih oleh JKR,” katanya dalam sidang media di Terminal Dua Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo dan punca kelewatan kerja menyiapkan projek tersebut.

Dr Mahathir (tiga dari kiri) menunaikan solat Maghrib yang turut disertai Mohd Shafie pada Majlis Iftar Bersama Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berada di Kota Kinabalu petang tadi sempena menghadiri majlis Iftar Bersama Perdana Menteri di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Beliau diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan-timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta barisan kepimpinan negeri.

Terdahulu Dr Mahathir turut menunaikan solat Maghrib serta menyerahkan sumbangan kepada 20 asnaf.

Dr Mahathir melambaikan tangan selepas menghadiri Majlis Iftar Bersama Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam perkembangan lain beliau berkata negara mengalami pertumbuhan pembangunan agak perlahan ketika ini.

“Senario ini bukan hanya berlaku di Sabah, malah di Semenanjung kerana kerajaan berdepan dengan pelbagai yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu tambahan pula kerajaan menghadapi kekangan kewangan,” katanya. – SabahNewsToday