Pilih Bahasa

Joe Branko (Joe Wings) serikan Konsert KK Cops Night Run 2020

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Habibi (tengah) menunjukkan medal bakal diterima peserta yang menyertai KK Cops Night Run 2020. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Seramai 5,000 peserta dijangka bakal menyertai KL Cops Night Run 2020 pada 4 Januari depan yang diadakan pada pukul 7.30 malam dengan Stadium Likas Kota Kinabalu dipilih sebagai venue larian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata setakat ini pihaknya sudah menerima pendaftaran kira-kira 4,000 penyertaan.

Habibi berkata beliau yakin jumlah terbabit akan terus bertambah daripada semasa ke semasa disebabkan sambutan dalam kalangan masyarakat setempat dan luar amat memberangsangkan.

“Sepatutnya tarikh akhir pendaftaran adalah 4 Disember lalu namun berikutan masih ada individu yang mahu menyertai, kita terus membuka peluang untuk orang ramai mendaftar sehingga program dilaksanakan.

“Selain penyertaan peserta tempatan, kita turut menerima pendaftaran daripada Semenanjung dan ini pastinya menaikkan semangat agar memastikan larian ini berjaya mencapai sasarannya,” katanya ketika sidang media selepas Program Trim and Fit peringkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Habibi ketika sidang media selepas menyertai Program Trim and Fit di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Julung kali diadakan sempena Tahun Baru 2020, larian berkenaan terbuka kepada empat kategori utama iaitu 10 kilometer (km) Veteran dan Terbuka, 10km Veteran dan Terbuka (PDRM sahaja), Fun Run 5km dan Fun Run 7km.

Dalam pada itu, acara lain turut berlangsung pada hari sama adalah Konsert KK Cops Night Run 2020 bertempat dalam perkarangan Stadium Likas.

“Konsert ini adalah percuma dan kita mengalukan orang awam untuk hadir menyaksikan persembahan selepas lari itu nanti kerana ia adalah percuma,” ujarnya.

Habibi menambah penonton yang hadir bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan Sabah seperti Rubisa Tiasin, Clarice John Matha, Datin Saadiah Abd Rashad, Maikel Ariel dan penampilan khas Joe Wings yang akan bergabung bersama Thunderstorm Band Champion Battle Of The Band Sabah dan D.A.J Band. – SabahNewsToday