Pilih Bahasa

Johair Matlani, Remy Awang menang Ketua, Timbalan Bahagian Warisan Beaufort

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Arifin dan Johair (tengah) bersama kepimpinan baru Warisan Bahagian Beaufort sesi 2019/2022. – Gambat SNT/Ihsan Warisan Beaufort

BEAUFORT: Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan) Johair Matlani menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Warisan Beaufort dalam pemilihan di peringkat bahagian itu di Dewan Masyarakat Pak Musa Beaufort.

Beliau yang diberikan laluan oleh bekas Ketua Penaja Bahagian Warisan Beaufort sebelum ini iaitu Jusih Sarin yang menarik diri daripada bertanding merebut jawatan tersebut.

Mesyuarat yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri  yang juga Setiausaha Kerja Warisan, Arifin Asgali turut menyaksikan jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian masing-masing dimenangi oleh Ermia @ Remy Awang dan Awang  Besar Abdul Rashid.

Dalam mesyuarat Wanita, Wira dan Wirawati menyaksikan jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Wanita Bahagian Warisan Beaufort dimenangi oleh gandingan Masrah Mohamad, Ernie Edris dan Margaret Trebucon.

Bagi jawatan Wira pula dimenangi oleh Adeli Abat manakala Dickson Fredzex dipilih sebagai Timbalan Ketua Wira dan Suhaidi Ab Samat pula Naib Ketua Wira.

Jawatan Ketua Wirawati dimenangi oleh Evanalyn Longinus, Suzilawati Sapawih (Timbalan) dan Naib Ketua Wirawati ialah Noor Jaini Manir.

Bagi ahli jawatankuasa bahagian seramai 12 calon bertanding dan mereka yang terpilih ialah Zuhairi Kimin, Sabturani Taman, Daud Jilin, Karji Kiriman, Boon [email protected] Boon Hoo, Idsol Samat, Nekood Beng Bhatt, Justin Rupanya, Jemir Dumpil dan Jislin Muska.

Johair yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Klias meminta semua pihak berlapang dada menerima keputusan perwakilan dan terus memainkan peranan memperkasakan parti diperingkat akar umbi meskipun tanpa jawatan.

Katanya, rakyat Sabah telah memberikan mandat dan kepercayaan memilih Warisan sebagai peneraju utama kerajaan negeri sekarang yang memerlukan perubahan dan pembelaan bagi memenuhi aspirasi mereka.

Gesaan itu jelasnya selari dengan harapan kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar pemimpin dan ahli parti berkerja dalam satu pasukan bagi memperkasakan perjuangan parti. – SabahNewsToday