Pilih Bahasa

JPJ siasat anggotanya lakukan kekasaran terhadap seorang penunggang motosikal

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap anggota penguatkuasanya dipercayai melakukan kekasaran terhadap seorang penunggang motosikal.

Adegan dalam video tular yang dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya menunjukkan salah seorang penguatkuasa menendang penunggang motosikal. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Dalam kenyataan oleh Ibu pejabat JPJ hari ini memberitahu, pihak jabatan itu telah mengambil maklum dan siasatan kini dijalankan di peringkat Ibu pejabat JPJ.

“Pengurusan tertinggi JPJ memandang serius isu-isu yang berkaitan integriti dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati bersalah melakukan kesalahan tingkah laku.

“Tindakan tatatertib lebih tegas termasuk menamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap warga JPJ yang melanggar undang-undang negara dan peraturan jabatan,” kata JPJ.

Terdahulu sebuah video tular di media sosial berdurasi 45 saat memaparkan tindakan dua penguatkuasa JPJ bertindak menahan seorang penunggang motosikal.

Dalam video itu kelihatan dua anggota JPJ tiba-tiba meluru ke arah penunggang motosikal itu yang seperti cuba mengelak ditahan penguatkuasa JPJ berkenaan.

Bagaimanapun selepas dapat menangkap salah seorang penguatkuasa jabatan itu dilihat bertindak kasar dengan menumbuk dan menendang lelaki tersebut. – SabahNewsToday