Pilih Bahasa

JPN sasar miliki 100 guru inovasi antarabangsa dalam tempoh tiga tahun

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Dr Mistrine menandatangani plak perasmian sempena Karnival Pembestarian Sekolah Peringkat Negeri Sabah. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mensasarkan untuk mempunyai 100 guru inovasi antarabangsa bagi tempoh tiga tahun yang akan disenarikan dalam Pelan Strategik Baharu jabatan berkenaan.

Pengarahnya, Dr. Mistirine Radin berkata aspek inovasi menjadi antara perkara utama yang ditekankan dalam pelan strategik yang dijangka bermula pada 2020 hingga 2022 ke arah merealisasikan ‘Sabah Hebat’.

“Semua guru di semua sekolah termasuk pemimpin sekolah melaksanakan inovasi kerana inovasi ini adalah untuk memudahkan pemahaman oleh murid-murid dalam satu-satu mata pelajaran.

“Inovasi ini boleh membantu satu kes diselesaikan dan bagi saya ia boleh membantu guru-guru meningkatkan pembelajaran mereka di sekolah,” katanya ketika ditemui media sempena perasmian dalam  Karnival Pembestarian Sekolah Tahun 2019 di Dewan Datuk Amir Bek Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau di sini hari ini.

Dr Mistrine menyampaikan Anugerah Guru Berjasa tahun 2019. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Katanya, dalam pelan strategik itu pihak JPN akan mencari kaedah untuk mencapai perkara berkenaan dan aspek inovasi akan diurus dengan lebih terancang di peringkt JPN.

“Kita nak hasilkan 100 guru bertaraf antarabangsa dan berkarya di peringkat antarabangsa untuk menyumbang kepada negeri dan negara.

“Dalam perancangan strategik ini kita ada inisiatif tersendiri untuk mencapai ke arah itu dan kami sendiri akan nyatakan selepas selesai pelan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga berharap agar terdapat guru dari negeri ini menerima anugerah Maha Chakri yang diberi kerajaan Thailand berikutan belum ada guru dari Sabah mewakili Malaysia ketika ini.

Menyentuh berkenaan sekolah daif di negeri ini, pihaknya mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dalam mengenalpasti sekolah daif.

“Kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kerja Raya Sabah untuk mengenalpasti sekolah yang tidak selamat diduduki atau yang tidak bergeran kerana untuk mendapatkan bangunan gantian itu, sekolah berkenaan perlu ada geran barulah Kementerian Pendidikan Malaysia memberi peruntukan untuk membina sekolah baharu atau bangunan gantian,” jelasnya. – SabahNewsToday