Pilih Bahasa

JSPT serbu samseng jalanan, 52 motosikal disita, 10 orang ditahan

Oleh Zakaria Damit

Tindakan sekumpulan samseng jalanan bersembunyi dalam semak bagi mengelak ditahan berjaya dikesan polis trafik. – Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah menyita sebanyak 52 motosikal dan menahan seramai 10 penunggang dalam Ops Khas Samseng Jalanan Bersepadu di sini semalam.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 9 malam hingga 8 pagi itu polis turut menyerbu laluan di Jalan Kepayan menuju Aeropod dipercayai tempat sekumpulan samseng jalanan merempit.

Ketua JSPT, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata bertindak atas maklumat berkenaan aktiviti perlumbahan haram samseng jalanan, polis melancarkan Ops Khas Samseng Jalanan Bersepadu di kawasan itu.

Motosikal yang disita dalam Ops Khas Samseng Jalanan Bersepadu di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. – Gambar SNT/Ihsan Polis

“Polis trafik bertindak menutup beberapa jalan utama di laluan Jalan Kepayan menuju ke Aeropod, Tanjung Aru bagi menghalang sekumpulan samseng jalanan itu beraksi dan menyebabkan mereka terperangkap dan cuba bersembunyi di kawasan semak samun kawasan perumahan.

“Malangnya taktik mereka untuk meloloskan diri gagal apabila anggota JSPT berjaya mengesan samseng jalanan ini,” katanya sambil menambah sebanyak 85 motosikal ditahan dan di bawa ke balai polis untuk siasatan.

Mohd Zamzuri berkata sebanyak 52 motosikal disita atas kesalahan mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seramai empat individu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota JSBT memeriksa motosikal yang disita dalam Oks Khas Samseng Jalanan Bersepadu. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Katanya enam lagi individu ditahan mengikut Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala jumlah saman yang dikeluarkan iaitu sebanyak 61 keping atas pelbagai kesalahan.

Dalam operasi yang sama, katanya sebanyak sembilan keping saman dikeluarkan atas kesalahan melepaskan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan kualiti Alam Sekeliling.

Menurut beliau Operasi Khas Samseng Jalanan yang dilakukan semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingin berlaku dan akan diteruskan pada masa akan datang bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di negeri ini. – SabahNewsToday