Pilih Bahasa

JSJ Narkotik Bukit Aman tumpaskan sindiket dadah lebih setengah juta

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah merampas 11 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM500,000. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman dan menahan tiga lelaki berusia 15 hingga 45 tahun dalam serbuan di Jalan Tungku Lahad Datu pada 2 November lalu.

Kesemua suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu berjaya ditangkap polis ketika cuba melarikan diri dalam serbuan tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek itu telah membawa penemuan sebuah kotak di dalam sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax di Jalan Seri Melor Tinggayan, Semporna pada hari yang sama.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya merampas 11 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM500,000. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pemeriksaan ke atas kotak itu yang terletak di atas tempat duduk penumpang belakang mendapati sebanyak 11 buah plastik biru yang mana di dalam setiap plastik biru terdapat satu paket plastik lutsinar besar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Berat barang kes ialah 11,058 gram dan harga pasaran dadah tersebut dianggarkan bernilai RM552,90,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Omar berkata, dua daripada suspek itu merupakan warga tempatan manakala seorang lagi suspek tidak memiliki sebarang dokumen keterangan diri.

Tambah beliau lagi, ketiga-tiga suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 November hingga Jumaat ini.

Jelas beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday