Pilih Bahasa

JTU lulus 6,000 permohonan tanah, geran akan diserahkan kepada pemohon seluruh negeri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyerahkan lebih 6,000 geran tanah yang telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) kepada pemohon di seluruh daerah negeri ini dalam waktu terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebahagian lagi permohonan tersebut sedang dalam proses penyemakan oleh pihak JTU negeri.

Mohd Shafie (tengah) menunjukkan sejumlah 6,000 geran tanah yang diluluskan dan bakal diagihkan kepada penduduk tempatan di negeri ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Hari ini kita menyampaikan sebanyak 3,547 geran-geran subsidiari (strata) untuk unit-unit kediaman dan komersial di kawasan Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang.

“Seperti yang kita janjikan geran tanah ini penting kepada rakyat yang menuntut sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Tanah dan Ukur 2018 di Dewan Serbaguna Wisma Tanah dan Ukur di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai dan Pengarah JTU, Datuk Safar Untong.

Mohd Shafie (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JTU 2018, sambil diperhatian oleh Safar (kiri). – Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie berkata proses kelulusan bagi setiap permohonan tanah sememangnya mengambil masa kerana perlu melalui beberapa prosedur bagi memastikan status sesuatu tanah yang dipohon itu tidak termasuk dalam senarai pewartaan atau hutan simpan.

“Kita kena meneliti dahulu tanah itu sekiranya tidak berlaku pertelingkahan atau tidak termasuk dalam hutan simpan kita akan pertimbangkan berdasarkan hak yang ada,” ujarnya.

Mohd Shafie (kanan) merasmikan Bangunan Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah, sambil diperhatikan oleh Pengarah JTU, Datuk Safar Untong. Gambar SNT/Ihsan JKM

Sementara itu, Safar dalam ucapannya berkata jabatan itu mensasarkan kutipan hasil cukai tanah pada tahun ini berjumlah RM350 juta berbanding RM312 juta pada 2018.

Katanya kutipan tersebut ia diperolehi daripada pelbagai bahagian cukai iaitu tanah, pembangunan dan ukur. – SabahNewsToday