Pilih Bahasa

JUAL NOMBOR EKOR GELAP, LELAKI TEMPATAN DITAHAN

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor empat digit haram di Kampung Nahaba di sini petang semalam.

Operasi pembanterasan judi sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula pukul 3 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM522 dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian haram berkenaan.

Suspek yang ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan 4-D gelap. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Belud

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata suspek yang berumur 40 tahun itu ditahan menerusi serbuan di sekitar Kota Belud.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Kota Belud, menjalankan Operasi Khas Pembanterasan Elemen Perjudian di Kota Belud.

“Antara peralatan judi yang dirampas dalam operasi ini ialah telefon bimbit, beg punggang dan wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tambahnya suspek akan direman selama empat hari bermula hari ini (Khamis) untuk siasatan lanjut. -SabahNewsToday