Pilih Bahasa

JUAL TENGILING HIDUP MELALUI WHATSAPP, SEORANG LELAKI TEMPATAN DITANGKAP

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pasukan Penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah berjaya mematahkan cubaan jual-beli binatang terlindung dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan di Kota Belud.

“Screenshot” grup whatsapp di mana suspek menawarkan seekor tengiling hidup untuk dijual. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Hidupan Liar

Menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Augustine Tuuga, tangkapan dibuat pada 3 Jan lebih kurang jam 11 pagi berhampiran stesen minyak di pekan Kota Belud.

Pemeriksaan terhadap kereta milik suspek di dapati seekor tengiling hidup disimpan di bonet kereta tersebut.

Suspek berusia 20 tahun berasal dari Kota Belud ditahan untuk siasatan lanjut manakala kereta dan tengiling turut disita.

Dipercayai suspek telah menawarkan penjualan tengiling tersebut melalui aplikasi whatsapp.

Menurut Augustine, tengiling merupakan binatang dilindungi penuh dan disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Pemilikan binatang yang tersenarai dalam jadual ini tanpa permit daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 41 (1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41 (4)(a) Enakmen yang sama.

Hukuman ialah denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang dari satu tahun sehingga 5 tahun jika sabit kesalahan.

Augustine mengucapkan terima kasih kepada pihak awam yang telah memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

Katanya penjualan binatang terlindung melalui aplikasi media sosial agak meluas namun pihaknya sentiasa memantau aktiviti sedemikian.-SabahNewsToday