Pilih Bahasa

Jualan topeng muka diterhadkan, elak pembeli jual pada harga tinggi

Oleh Mohd Adam Arinin

Sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu mempamerkan notis tiada stok bekalan topeng muka. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kebimbangan orang ramai terhadap penularan wabak novel Koronavirus (2019-nCoV) membuatkan ramai antara mereka resah setelah mendapat tahu bekalan topeng muka habis dijual di kebanyakkan farmasi.

Tinjauan SabahNewsToday mendapati penjualan topeng muka yang dikategori sebagai barangan harga terkawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sangat laris jualannya, malah ada farmasi serta peruncit kesihatan dan kecantikan yang kehabisan bekalan.

Seorang ahli farmasi yang enggan dikenali berkata pihaknya kehabisan bekalan barangan berkenaan sejak minggu lalu.

“Semalam, kami menerima 20 kotak topeng muka yang setiap satu kotak mengandungi 50 keping topeng jenis ‘surgical mask’ didalamnya.

“Jualan amat laris sekali… saya dan rakan sekerja terkejut kerana 1,000 keping topeng muka itu habis terjual dalam masa kurang sejam,” katanya.

Topeng muka jenis ‘surgical mask’ menjadi pilihan utama pelanggan berikutan penularan wabak Koronavirus. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurutnya lagi, farmasi yang beroperasi di sebuah pusat membeli-belah di sini memperoleh bekalan sebanyak 25 kotak topeng muka jenis yang sama pada hari ini untuk dijual selepas permintaan pengguna yang amat tinggi.

“Tetapi, atas arahan majikan, kami tidak menjual sekotak (50 keping) topeng ini atau melebihi 15 keping kepada setiap seorang pelanggan.

“Kami akan keluarkan dan membungkus topeng ini kepada dua set jualan iaitu lima keping dan 15 keping. Ini bertujuaan agar pelanggan yang lain juga dapat memiliki topeng muka berikutan terhad penjualannya. 

“Dengan cara ini, kita dapat mengelak mereka menjual dengan harga yang jauh lebih tinggi di luar. Malah, kotak kosong ‘surgical mask’ ini tidak akan diberi ataupun dijual sama sekali kepada mana-mana pelanggan,” jelasnya.

Pekerja farmasi membawa masuk kotak yang mengandungi 1,250 keping topeng muka untuk dijual. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

 Dia turut memaklumkan selain daripada topeng muka, cecair pembasmi kuman beralkohol juga laris jualan seperti ‘pisang goreng panas’.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Azli Hazali Amat Shah, 31, mengakui pada mulanya dia mendakwa pihak farmasi sengaja ‘menyembunyi’ bekalan tersebut. 

“Namun, saya tersilap kerana topeng muka habis dijual di premis kesihatan dan kecantikan seperti Watson dan Guardian berikutan permintaan yang tinggi dan bahaya virus ini,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Ahli farmasi mengeluarkan dan membungkus topeng muka jenis ‘surgical mask’ kepada dua set jualan iaitu lima keping dan 15 keping dan dijual secara terhad kepada hanya satu pelanggan sahaja. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

SabahNewsToday pada Khamis melaporkan bahawa KPDNHEP mengesahkan masih terdapat lebih 70,000 keping topeng muka dalam milikan pemborong serta penjual di negeri ini. 

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, jumlah terbabit diperoleh hasil pemeriksaan terhadap premis serta pemborong di sini selepas berlakunya isu kehabisan penjualan topeng muka ini berikutan kebimbangan penularan wabak Koronavirus. 

Malaysia setakat ini merekodkan lapan kes positif Koronavirus yang dilaporkan mula dikesan di Wuhan, China pada akhir tahun lepas. – SabahNewsToday