Pilih Bahasa

Juara Asean Song Contest 2019, Rosario tujukan kemenangan buat keluarga dan peminat

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penyanyi kelahiran Sabah, Rosario Ninih menyifatkan kejuaraan dalam pertandingan Asean Song Contest 2019, baru-baru ini bukanlah kejayaan peribadi semata-mata malahan ia ditujukan buat keluarga serta peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.

Rosario atau nama sebenarnya, Rosario Ninih Chamini Bianis, 25, berkata kemenangan itu adalah pencapaian tertinggi diri sepanjang bergelar penyanyi dan ia mungkin  sukar dicapai sekiranya hanya berbekalkan bakat semata-mata.

Rosario bersama piala dan sijil kemenangannya merangkul Asean Song Contest 2019 di Vietnam sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pertandingan disertai ramai penyanyi lain yang berbakat serta memiliki kelebihan masing-masing. Sudah tentu saya sedikit gementar apabila melihat semua pesaing daripada negara lain.

“Bagaimanapun, saya terfikir kedatangan dalam pertandingan ini bukan sahaja membawa nama sendiri tetapi nama Sabah dan negara kita secara keseluruhannya.

“Saya beryukur mempunyai keluarga, rakan-rakan dan peminat yang tidak pernah putus memberikan nasihat mahupun semangat sejak mula memasuki bidang nyanyian,” kata bekas juara Bintang RTM 2016 itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dekat sini, hari ini.

Rosario disambut oleh keluarga dan rakan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas menjuarai Asean Song Contest 2019 di Vietnam baru-baru ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Berlangsung di Vietnam pada 27 dan 28 Julai lalu , penyanyi berasal dari Tambunan itu berjaya memukau juri serta penonton dengan kelantangan vokalnya menerusi lagu Run nyanyian asal Leona Lewis pada peringkat akhir itu.

Rosario berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai USD3,000 (RM12,368), trofi dan sijil.

Selain Rosario, negara turut diwakili penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri namun hanya berjaya memasuki pusingan penentuan ke peringkat akhir.

Asean Song Contest 2019 disertai seramai 25 penyanyi dari beberapa negara termasuklah Indonesia, Korea, Filipina, Vietnam, Myanmar, Jepun, Kemboja dan Laos. –SabahNewsToday