Pilih Bahasa

JUDI SEKITAR KOTA KINABALU SEMAKIN LUMPUH: HABIBI

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menunjukkan mesin pencetak mudah alih pada sidang media kejayaan polis menumpaskan aktiviti perjudian haram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kegiatan perjudian sekitar daerah ini semakin lumpuh berikutan operasi yang kerap dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat daripada masyarakat yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian selain daripada hasil risikan yang dilakukan oleh pihak polis.

“Sepanjang tempoh Januari sehingga kini pihak polis berjaya melaksanakan sebanyak 106 serbuan dan berjaya menahan seramai 168 individu termasuk 87 wanita warga tempatan berumur 16 hingga 59 tahun.

Mesin pencetak mudah alih, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai antara barang rampasan yang nilainya mencecah RM154,000. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kesemua suspek yang ditahan ini kebanyakkannya adalah penjaga premis, mereka yang terlibat dengan perjudian itu sendiri dan penganjur yang bergerak secara individu bagi mengelakkan dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Habibi, sepanjang tempoh serbuan yang dibuat pihaknya juga berjaya merampas sejumlah peralatan perjudian termasuk 18 buah komputer riba, sembilan set komputer, 82 telefon bimbit pelbagai jenama, mesin pencetak mudah alih serta sejumlah wang tunai hasil perjudian yang dianggarkan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM152,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kanan) diberikan penerangan oleh pegawainay pada sidang media kejayaan polis menumpaskan aktiviti perjudian haram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Sepanjang Op Dadu ini dijalankan, 29 daripada kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6(#) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kita juga giat mengesan dalang utama dan akan mengambil tindakan untuk dituduh di mahkamah pada masa akan datang,” tambahnya

Habibi turut menjelaskan bahawa pihaknya akan meneruskan Op Dadu ini bagi membanteras kegiatan perjudian dan memastikan daerah Kota Kinabalu bebas dari sebarang kegiatan perjudian haram. -SabahNewsToday