Pilih Bahasa

Jumlah mangsa dipindahkan akibat banjir di Membakut meningkat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Anggota APM Beaufort membantu mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di daerah itu yang ditempatan di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Membakut. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

BEAUFORT: Jumlah keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Membakut pagi ini ekoran banjir sejak semalam meningkat kepada 36 berbanding hanya lima keluarga sebelum ini.

Ia melibatkan 98 mangsa yang terdiri 24 lelaki, wanita (29 orang), kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing seramai 19 dan 24 orang manakala dua bayi lelaki.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan berkata kesemua mangsa yang terjejas itu adalah dari 11 buah kampung di daerah tersebut.

Anggota APM Beaufort (kanan) menyalurkan bantuan makanan kepada sebuah keluarga yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Membakut. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

Kampung terlibat ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai, Lampijas, Jambatan Baru, Baitam Laut, Baitam Baru dan Papas.

“Bacaan paras air setakat pukul 10 pagi tadi adalah 6.24 meter iaitu melebihi paras amaran 5.60 yang ditetapkan manakala paras air laut pula 1.9 meter.

“Keadaan cuaca di daerah ini juga masih mendung,” kata agensi itu lagi.

Tambah APM lagi, beberapa jalan di daerah itu juga terputus ekoran banjir yang berlaku dan hanya boleh dilalui oleh kenderan berat seperti Jalan Kampung Baitam dan Kampung Kayai.

Sementara itu Jalan Kampung Sendok, Kampung Poring dan Kampung Lampijas masih pula boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Sehubungan itu pemantauan di lokasi banjir akan terus dilakukan bersama bomba, polis, pejabat daerah dan anggota Rela. – SabahNewsToday