Pilih Bahasa

Jumlah penduduk terjejas banjir Membakut menurun

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota APM membantu kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ekoran banjir di Membakut. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

BEAUFORT: Jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Membakut menunjukkan sedikit penurunan berbanding pagi tadi (15 Jun).

Setakat pukul 8 malam tadi, jumlah mereka yang dipindahkan menurun kepada seramai 34 keluarga berbanding 36 pada sebelah pagi.

Penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di Membakut dipindahkan ke Dewan Serbaguna Membakut. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

Jumlah berkenaan melibatkan 94 mangsa terdiri 23 lelaki, wanita (27 orang), kanak-kanak lelaki (18), kanak-kanak perempuan (24) dan dua bayi lelaki.

Penolong Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mejar Erwin Kinsui berkata bilangan kampung terjejas di daerah berkenaan kekal sebanyak 11 buah kampung.

Sebahagian wanita dan kanak-kanak yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Membakut akibat kampung mereka dilanda banjir. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai, Lampijas, Jambatan Baru, Baitam Laut, Baitam Baru dan Papas.

“Bagaimanapun bacaan paras air Sungai Membakut terus meningkat iaitu 6.52 meter setakat jam 7 petang manakala paras air laut kekal pada 1.9 meter.

“Keadaan cuaca di daerah ini juga masih mendung,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anggota APM membantu penduduk di salah sebuah kampung di Membakut yang terjejas akibat banjir. – Gambar SNT/Ihsan APM Beaufort

Beliau berkata kini hanya Jalan Kampung Baitam sahaja terputus ekoran banjir dan hanya boleh dilalui oleh kenderan berat manakala beberapa jalan lain boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Sementara itu, Erwin berkata pemantauan di semua lokasi banjir masih terus dilakukan bersama bomba, polis, pejabat daerah dan anggota Rela dari semasa ke semasa. – SabahNews Today