Pilih Bahasa

Jumpa mayat abang tinggal rangka

Oleh Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Seorang lelaki terkejut apabila menemui mayat abangnya yang hanya tinggal rangka di rumahnya di Batu 3, Kampung Padas Valley di sini, semalam.

Mayat Phong Yet Ming, 75, itu ditemui pada pukul 4.30 petang ketika adiknya melawat ke rumah abang sebelum terhidu bau busuk.

Mayat mangsa yang ditemui hanya tinggal rangka di rumahnya di Kampung Padas Valley, Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata jarak rumah mangsa dan adiknya adalah kira-kira 50 meter yang terletak di kawasan hutan.

“Berdasarkan maklumat awal, adik mangsa berusia 65 tahun dikatakan pergi melawat abangnya di rumah berkenaan dan memanggilnya beberapa kali namun tiada jawapan dan pada masa sama terhidu bau busuk. 

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, adiknya masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila menemui mayat yang tinggal rangka dipercayai mayat abangnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan rumah yang didiami mangsa. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Azmir berkata mangsa dikatakan tinggal bersendirian di rumahnya sejak lebih 30 tahun lalu.

“Mangsa juga dipercayai mempunyai masalah mental namun tidak pernah mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital. 

“Walaupun jarak rumah adiknya dengan mangsa adalah hampir, namun rumah mangsa tidak kelihatan kerana diliputi hutan dan pokok-pokok tinggi.

Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di lokasi rumah mangsa. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

“Kali terakhir adiknya menemui abangnya pada dua minggu lalu untuk menghantar bekalan makanan,” katanya. 

Menurutnya, rangka dan tengkorak mangsa sudah dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut. 

Azmir berkata tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan setakat ini dan kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut. – SabahNewsToday