Pilih Bahasa

Junz Wong nasihati orang ramai jangan tertipu

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, menyatakan bahawa beliau selaku menteri tidak pernah membenarkan orang tengah untuk melobi sebarang projek atau program melalui ahli keluarga beliau.

Beliau berkata bahawa sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri dalam program pertanian atau terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan pertanian boleh terus berurusan sama ada dengan kementerian beliau atau pun jabatan dan agensi di bawah kementerian.

Datuk Junz Wong. Gambar Fail SNT

Junz juga berkata mana-mana pegawai di dalam kementerian serta jabatan dan agensi di bawah kementerian sama sekali tidak dibenarkan untuk menjadi perantara dalam mendapatkan projek atau pelaksanaan sesuatu program.

Junz Wong mengeluarkan kenyataan demikian berikutan tularnya pesanan suara seseorang dalam aplikasi “WhatsApp” yang menyatakan dia kenal Jack Wong adik kepada Datuk Junz Wong dan melalui hubungan ini dana daripada Agro Bank dapat diperolehi dengan bantuan Datuk Junz Wong.

Kononnya mereka yang memperkenalkan syarikat untuk mendapat bantuan dan dana bersama pemesan suara akan menerima “referral fee” atau yuran rujukan.

“Ini semua tidak benar, ini merupakan satu tipu helah atau scam,” kata Junz.

Junz menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan jangan tertipu.

Junz menasihatkan orang awam untuk terus berhubung dengan kementerian serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian beliau sekiranya memerlukan sebarang perkhidmatan atau bantuan.

Junz memberitahu pegawai beliau akan membuat laporan polis berkaitan perkara ini.-SabahNewsToday