Pilih Bahasa

Juragan ditahan bawa keluar tiga PTI warganegara Indonesia

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Juragan warganegara Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki membawa keluar tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI), di perairan Sungai Merotai, di sini tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu bot yang dinaiki juragan dan tiga pati berusia 22 hingga 28 tahun terbabit disyaki sedang menuju ke Pulau Sebatik, Indonesia.

Juragan dan tiga lelaki pendatang asing tanpa izin warganegara Indonesia yang ditahan. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

Katanya bot peronda APMM yang sedang menjalankan Operasi Pluto Timur kemudian bertindak memintas bot yang dinaiki suspek.

“Pemeriksaan awal mendapati juragan terbabit memiliki dokumen pengendalian diri yang sah.

“Dua lagi penumpang menunjukkan pas lawatan sementara. Bagaimanapun, kita mendapati pas berkenaan sudah tamat tempoh. Seorang lagi penumpang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot yang digunakan oleh juragan berkenaan dalam cubaan membawa keluar 3 PTI warga Indonesia. Gambar SNT/Ihsan APMM Tawau

Mengulas lanjut, beliau berkata juragan terbabit turut gagal mengemukakan dokumen pendaftaran yang sah ke atas bot yang dipandunya.

“Semua suspek ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. – SabahNewsToday