Pilih Bahasa

Juragan gagal seludup keluar tong gas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Suspek berusia 30 tahun ditahan dipercayai cuba seludup keluar lima tong gas LPG ke negara Indonesia. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Taktik seorang juragan menyembunyikan lima tong gas cecair petroleum (LPG) di ruang belakang bot gagal mengaburi Pasukan Polis Marin (PPM) apabila dia ditahan di kawasan perairan Sungai Haji Kuning, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, anggota bot ronda PPM yang sedang menjalankan Operasi Gelora mengesan bot yang dinaiki suspek berusia 30 tahun di perairan terbabit sebelum bertindak memintasnya.

“Selepas berjaya dipintas, kita kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati suspek menyembunyikan lima tong gas di ruang belakang bot.

“Juragan juga didapati gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa tong gas terbabit.

Mohamad Pejeri berkata, suspek dipercayai cuba seludup tong gas terbabit ke negara Indonesia.

“Suspek kini ditahan dan barangan dirampas termasuk bot dan enjin bernilai RM14,000. Semua barangan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – SabahNewsToday