Pilih Bahasa

Juragan Indonesia ditahan bawa tiga buah mesin judi “Wukong”

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tindakan seorang juragan warganegara Indonesia membawa tiga mesin judi permainan “Wukong” mengundang padah selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan daerah ini, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri bin Hussin berkata juragan berusia 50 tahun itu dipercayai membawa mesin judi terbabit menggunakan bot penumpang menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Mesin judi permainan “Wukong” yang dirampas APMM. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

Katanya bot ronda APMM yang menjalankan operasi dan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan tanggungjawab bertindak menahan sebuah bot penumpang mencurigakan yang memiliki nombor pendaftaran.

“Pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa muatan kotak yang dibungkus menggunakan plastik berwarna merah jambu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu, kita menemukan tiga mesin judi permainan Wukong tanpa sebarang dokumen kebenaran membawa barangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juragan ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan salah guna lesen bot penumpang dengan membawa mesin judi terbabit. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

Beliau berkata suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kemudian ditahan manakala barangan dirampas dan dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen bot dan Akta Imigresen 1959,” jelasnya. -SabahNewsToday