Pilih Bahasa

Juragan, tujuh penumpang PTI Filipina ditahan APMM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan cubaan seorang juragan membawa masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PTI) termasuk seorang wanita ke daerah ini, melalui perairan Kampung Desa Bajau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata semua pati berusia 17 hingga 55 tahun ditahan pukul 6.50 petang ketika pihaknya sedang melakukan Operasi Pluto Timur di perairan berkenaan.

Antara pati yang ditahan dalam Operasi pluto yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu. Gambar SNT / Ihsan APMM Lahad Datu

“Sebuah pam bot yang dalam keadaan mencurigakan kemudian ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan berusia 65 tahun membawa tujuh penumpang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan dan semua penumpang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah disyaki warganegara Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua pati ditahan dan dibawa ke Jeti APMM sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Juragan dan tujuh pati gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah disyaki warganegara Filipina. Gambar SNT/ Ihsan APMM Lahad Datu

“Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.-SabahNewsToday