Pilih Bahasa

Jurulatih menyelam pernah terima ugutan bunuh tahun lalu – Omar Mammah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah mengesahkan jurulatih menyelam, Zainal Abdun, 31, pernah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berhubung ugutan bunuh yang diterimanya, tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak polis akan menyiasat secara menyeluruh berhubung kejadian itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (dua dari kiri) menemui dan bertanyakan kepada salah seorang pekerja di Pulau Kulapuan Semporna berhubung insiden yang berlaku di lokasi berkenaan, Jumaat lalu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Mangsa pernah menerima ugutan bunuh pada tahu lalu dan dia sudah melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

“Tapi kita masih siasat perkara ini dan seperti yang saya katakan siasatan ini meliputi semua sudut,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi mangsa termasuk dua lelaki warganegara China maut akibat terkena bom ikan di Pulau Kulapuan, dekat sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada pelancong supaya menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berlesen.

Lokasi jurulatih menyelam dan dua pelancong warganegara China menjalankan aktiviti menyelam sebelum kejadian berlaku yang terletak 2.4 kilometer dari Pulau Peranginan Kulapuan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Difahamkan kedua-dua pelancong menggunakan khidmat agensi pelancongan yang tidak berdaftar secara sah. Kita ingin nasihatkan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan supaya pastikan memiliki lesen yang sah sebelum beroperasi.

Beliau turut bersetuju jika agensi keselamatan diletakkan di kawasan tapak-tapak selaman yang kurang dikunjungi oleh pelancong yang ingin menjalankan aktiviti menyelam.

Lokasi jurulatih menyelam dan dua pelancong warganegara China menjalankan aktiviti menyelam sebelum kejadian berlaku yang terletak 2.4 kilometer dari Pulau Peranginan Kulapuan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Begitu juga dengan pelancong yang datang ke Semporna sama ada bertujuan untuk melawat pulau-pulau sahaja atau menjalankan aktiviti menyelam supaya memastikan syarikat pelancongan berkenaan memiki lesen bagi memudahkan pemantauan,” jelasnya.

“Kita faham penguatkuasaan tidak dapat dilakukan secara efektif disebabkan perairan begitu luas.

“Namun kita akan mengkaji jika ada agensi-agensi yang menjalankan aktiviti menyelam ini supaya memaklumkan kepada pihak keselamatan terlebih dahulu terutama di kawasan-kawasan yang tidak biasa dijalankan aktiviti menyelam,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (dua dari kanan) ditemui selepas melawat lokasi kejadian jurulatih menyelam dan dua pelancong China maut akibat terkena bom ikan di perairan Pulau Kulapuan Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Terdahulu, Zainal Abdun, 31, bersama dua pelancong warganegara China Zhao Zheng dan Xu Yingjie maut akibat terkena bom ikan di perairan Pulau Kulapuan, dekat sini, Jumaat lalu.

Siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – SabahNewsToday