Pilih Bahasa

Juruteknik penapis air ditahan ugut bunuh ibu, isteri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pedang samurai yang digunakan suspek untuk mengugut ibu dan isterinya. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis menahan seorang juruteknik penapis air disyaki cuba mengugut bunuh ibu dan isterinya menggunakan pedang samurai, di rumah mereka di Taman Pertama Satu di sini semalam.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan ketika menyerah diri di Pejabat Detektif Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada pukul 12.30 tengah malam selepas ibu suspek membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ketika kejadian pada pukul 9 malam pada Khamis lalu, berlaku pertengkaran apabila isteri suspek menemukan beg tangan dipercayai milik teman wanita suspek.

“Mangsa berusia 53 tahun (ibu suspek) yang terdengar pertengkaran suspek dengan isterinya cuba bertanyakan kepada suspek bagaimana beg tangan terbabit ada pada suspek. 

“Suspek menjadi agresif kemudian mengambil sebilah pedang samurai di bahagian dapur dan mengugut akan membunuh mangsa dan semua orang dalam rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Nasri berkata, isteri suspek yang melihat kejadian itu mengambil pedang samurai yang berada ditangan suspek sebelum suspek bertindak keluar dari rumah.

Katanya akibat perbuatan suspek itu, mangsa yang bimbang dengan ugutan suspek bertindak menghubungi pihak polis dan membuat laporan di IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 kanun Keseksaan – SabahNewsToday