Pilih Bahasa

Justin Wong mahu Tawau terus maju

TAWAU: Calon Warisan Plus Dewan Undangan Negeri (Dun) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin mahu Tawau menjadi sebuah bandar pelancongan yang akan menjadi tumpuan ramai.

Itu antara visi yang ingin diperjuang calon muda berusia 28 tahun yang juga anak kepada Datuk Jimmy Wong penyandang kerusi Dun itu ketika ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media Tawau di sini hari ini.

Justin Wong. Gambar SNT

Beliau berkata Tawau berpotensi menjadi tumpuan pelancong asing sekaligus dapat meningkat ekonomi penduduk kawasan sekitar.

“Sekiranya dipilih menjadi pemimpin di Dun Sri Tanjong, saya mahu membuat satu perubahan di daerah Tawau khususnya di kawasan bandar supaya dapat dilihat lebih menarik,” katanya.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat menarik ramai pelancong dan pelabur asing datang, seharusnya bandar Tawau perlu mempunyai daya tarikan dan produk yang boleh diketengahkan termasuklah pengeluaran produk.

“Setakat ini daerah Tawau kurang mengeluarkan produk yang boleh menjadi daya tarikan, oleh itu kami mahukan lebih ramai penduduk yang mampu menghasil produk sendiri.

“Selama dua tahun lebih menjadi peneraju kerajaan negeri Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah mampu menghasilkan kilang minyak masak sendiri dan ini yang menjadi keutamaan kita supaya penduduk juga mendapat manfaatnya,” katanya

Ditanya mengenai adakah penampilannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini hanya menumpang populariti bapanya, beliau berkata tidak sama sekali kerana dia juga mempunyai misi dan visi tersendiri.

“Saya maklum, Datuk Jimmy Wong cemerlang dalam membantu rakyat di Dun ini, tetapi itu bukan bermakna saya akan menumpang popularitinya.

“Saya akan meneruskan apa yang dilakukannya, namun saya juga mempunyai perancangan tersendiri untuk mentadbir Dun ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat,”katanya

Beliau yang juga lulusan Ijazah Pelancongan dan Undang-Undang berkata dengan kelulusan dan pengalaman yang dia ada akan digunakan untuk membantu dalam pembangunan di daerah ini.

“Saya memohon kepada semua pengundi Dun Sri Tanjong supaya memberikan peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat supaya semua perancangan yang sudah dirancang daripada kerajaan negeri selama memerintah dapat diteruskan dengan baik,” katanya.-SabahNewsToday